Muhyiddin  diiringi  Dr Zaini  (kiri) melihat plan projek HAB Pendidikan Tinggi Pagoh, semalam.
Muhyiddin diiringi Dr Zaini (kiri) melihat plan projek HAB Pendidikan Tinggi Pagoh, semalam.
Oleh Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my

Pagoh: Semua universiti awam (UA) disaran mewujudkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) berdasarkan kepakaran masing-masing bagi meningkatkan kemahiran penduduk tempatan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, matlamat UCTC adalah merakyatkan ilmu dan mengoptimumkan prasarana fizikal di setiap pusat pengajian tinggi.

Bagaimanapun, katanya, setiap UCTC perlu menggunakan lima inisiatif untuk mencapai matlamat itu iaitu pertama, membantu fakulti menyediakan bidang praktikal dalam program atau kursus universiti.

“Kedua, membabitkan fakulti dan penuntut dalam aktiviti transformasi di bandar dan luar bandar dan ketiga, membolehkan komuniti tempatan mengakses kursus universiti dan kemudahan yang tidak digunakan sepenuhnya.

“Keempat, menggunakan pakar berkelayakan mengajar kursus jangka pendek dan akhir sekali menggunakan infrastruktur intelektual dan fizikal untuk menggalakkan aktiviti keusahawanan,” katanya ketika merasmikan pelancaran UCTC Pagoh di Kampus Sementara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Taman Pagoh Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Datuk Seri Dr Ir Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar dan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.

Muhyiddin berkata, berikutan itu pengurusan universiti perlu menggerakkan sumber intelektual dan Infrastruktur fizikal supaya matlamat UCTC merakyatkan ilmu dan berkongsi prasarana bagi mentransformasi masyarakat setempat.

Katanya, pendekatan digunakan adalah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk mengoptimumkan kewujudan universiti awam dan prasarananya dalam pembangunan komuniti inovatif.

“Ia dapat dilakukan dengan menggabungkan tenaga akademik dan mahasiswa dengan penduduk tempatan bagi mewujudkan kursus praktikal yang boleh menangani persoalan setempat serta mempromosikan keusahawanan.

“Konsep UCTC adalah membenarkan penggunaan prasarana universiti oleh komuniti dan penyelidikan pembelajaran sepanjang hayat dan akan menjadikan program itu lebih tersusun, kukuh dan memberi impak besar,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan akan menilai setiap program UCTC supaya ia memberi impak dan mempunyai nilai keberhasilan tinggi dalam mentransformasikan penduduk berhampiran.

Katanya, UCTC juga berfungsi sebagai pusat sehenti untuk menyalurkan maklumat berkaitan agensi kerajaan.

“Berikutan itu, saya berharap pemimpin masyarakat akan menyebarluaskan informasi berkaitan UCTC di kawasan masing-masing bagi membolehkan penduduk kampung menggunakan kemudahan yang disediakan.

“Sekiranya UCTC mendapat sambutan menggalakkan, kementerian akan berusaha memperkasakan fungsi, pengisian dan peranannya,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama setiap universiti boleh membuat kajian setiap kampung bagi meningkatkan taraf kehidupan dan kualiti hidup mereka.

Katanya, kajian itu bukan berkaitan prasarana di kampung berkenaan, sebaliknya sosioekonomi penduduk kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 9:40 AM