DR Afandi Ahmad. FOTO Ihsan UTHM
DR Afandi Ahmad. FOTO Ihsan UTHM
Essa Abu Yamin


KIRA-KIRA 2,000 pelajar Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) di kedua-dua kampus Parit Raja dan Pagoh memilih untuk pulang ke kampung manakala hanya sebilangan kecil memohon kekal di kampus.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTHM Profesor Dr Afandi Ahmad berkata, jumlah permohonan berkenaan didapati daripada soal selidik status pelajar sama ada ingin pulang ke kampung atau terus kekal di kampus.

"Soal selidik berkenaan yang diuruskan oleh pihak pengurusan Jawatankuasa Kerja Khas HEPA (Pengurusan Krisis Covid-19) UTHM sudah dilaksanakan sejak 9 April lalu dan terus dikemaskini terpakai bagi kedua-dua kampus UTHM merangkumi semua kolej kediaman dan pelajar tanpa asrama (PTA).

"Selain itu, ianya terpakai untuk pelajar yang terperangkap di rumah rakan, saudara dan lain-lain serta mereka yang sedang menjalani latihan industri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pelajar yang memohon untuk pulang ke kampung perlu mematuhi beberapa prosedur ketat termasuk hanya dibenarkan pulang menggunakan bas yang diurus oleh pihak pengurusan universiti.

"Pelajar yang menggunakan kenderaan sendiri perlu mematuhi syarat bahawa tiada rentas negeri dan hanya seorang sahaja untuk setiap kenderaan.

"Bagi pelajar yang berasal dari luar Semenanjung, mereka perlu menggunakan bas yang diurus oleh pengurusan universiti sahaja bagi pergerakan ke lapangan terbang untuk penerbangan ke Sabah dan Sarawak," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk politeknik serta kolej komuniti yang masih berada di kampus akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula esok.

"Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sudah memutuskan waktu perjalanan yang dibenarkan adalah dari 9 malam hingga 9 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 4:42 PM