BANGUNAN Canselari UTHM Pagoh. FOTO Adi Safri
BANGUNAN Canselari UTHM Pagoh. FOTO Adi Safri
Mohamed Farid Noh


KAMPUS Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh dekat Muar ditutup sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM awal pagi ini, langkah itu bagi menjaga keselamatan staf dan pelajarnya daripada penularan wabak itu.

Ia berikutan seorang kakitangan yang juga tenaga pengajar di kampus cawangan berkenaan disahkan positif Covid-19.

Semalam, media melaporkan kakitangan terbabit dipercayai menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur antara 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat dilaporkan mengesahkan kakitangan terbabit positif Covid-19 kelmarin dan tenaga pengajar berkenaan kini sedang menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru serta dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sebagai langkah proaktif, UTHM juga dilaporkan sudah membuat pengesanan kontak rapat staf terbabit supaya mereka menjalani saringan diadakan bermula hari ini di Kampus Pagoh dan di Kampus Induk, Parit Raja.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly ketika dihubungi berkata, seramai hampir 3,000 kakitangan serta pelajar yang terjejas di Kampus Pagoh diarahkan mengikuti kuliah dan kelas secara dalam talian sehingga makluman lanjut.

“Kami mengambil maklum nasihat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba semalam dan sejak semalam proses pembersihan dan sanitasi di UTHM Kampus Pagoh giat dijalankan.

“Pihak pengurusan UTHM sedang berusaha memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif yang maksimum di semua Pusat Tanggungjawab di UTHM, membabitkan kedua-dua Kampus Induk di Parit Raja dan Kampus Pagoh kekal terjamin.

“Antara langkah segera yang dilaksanakan menangguhkan semua aktiviti dan perhimpunan membabitkan pelajar dan staf di Kampus Induk dan Kampus Pagoh hingga 31 Mac 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 9:28 AM