MANGSA ditemui mati di hadapan pintu rumahnya.
MANGSA ditemui mati di hadapan pintu rumahnya.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di hadapan pintu rumahnya dipercayai menjadi mangsa bunuh seorang lelaki yang mengalami masalah mental di Jalan Selama-Alor Pongsu, Kampung Alor Pongsu, di sini, semalam.

Mangsa, Shamsuri Hassan, 74, dipercayai mati akibat kecederaan parah di kepala.

Saudara mangsa, Muhamad Ibrahim, 60, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa mangsa pada jam 2.30 tengah hari dan bergegas ke rumah mangsa untuk memeriksa keadaannya.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah mangsa, dia terkejut apabila mendapati mangsa terbaring kaku dengan keadaan berlumuran darah di hadapan pintu utama rumahnya.

“Melihat mangsa dalam keadaan tidak bernyawa dan berlumuran darah, saya segera melaporkan kejadian itu di balai polis berhampiran dan menghubungi Klinik Kesihatan Alor Pongsu untuk melakukan pemeriksaan ke atas mangsa,” katanya.

Muhamad berkata, dia dimaklumkan mangsa meninggal dunia akibat dibunuh seorang lelaki yang mempunyai talian persaudaraan dengan mereka.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu bagaimana cara si mati dibunuh dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Menurut sumber, difahamkan suspek bekas anggota komando dan mengalami masalah mental sejak beberapa tahun lalu serta sebelum ini menetap di Ipoh bersama isteri dan anak-anaknya.

Sejak beberapa bulan lalu, suspek mendakwa sering dirasuk dan meracau.

“Dalam tempoh dua hari sebelum ini, suspek berkelakuan agresif dan hampir mencederakan saudaranya apabila pernah memukul dan mencekik, namun saudaranya berjaya melepaskan diri dan menenangkannya semula.

“Pagi tadi (semalam), dia sepatutnya pergi ke Pulau Pinang bersama seorang ahli keluarganya untuk membeli barangan perubatan Islam sebelum membawa lari sebuah kereta dipercayai bertujuan untuk berjumpa dengan ibunya sebelum membunuh mangsa yang difahamkan mempunyai hubungan amat rapat dengan keluarga dan dianggap sebagai ayahnya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa yang juga pesara kerajaan sebelum ini mengalami kematian isteri, tiga bulan lalu dan tinggal di rumah bersama tiga anak yang masih bujang.

Menurutnya, mangsa ditemui mati dalam keadaan tertiarap, tidak berbaju dan memakai kain pelekat.

“Setakat ini, kami sudah menahan seorang pesara tentera berusia 42 tahun yang dipercayai suspek kejadian.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 8:43 AM