KEADAAN motosikal yang ditunggang mangsa.
KEADAAN motosikal yang ditunggang mangsa.

Chukai: Kemalangan membabitkan seorang lelaki dengan sebuah kereta Proton Preve di Kilometer 145, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini, semalam, menjadi sayu apabila dua lelaki dipercayai waris mangsa memeluk jenazah sambil menangis.

Kedua-dua mereka dilihat turut membaca ayat suci al-Quran.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, mangsa, Norasmi Haloh, 32, dari Kampung Geliga Baru, di sini, cedera di kepala apabila motosikal Yamaha Lagenda ditungganginya berlanggar dengan sebuah Proton Preve.

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pengendali jentera di Kemaman Supply Base (KSB), Telok Kalong di sini, dikatakan dalam perjalanan menghala ke tempat kerjanya.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di simpang tiga berhampiran tempat kejadian, mangsa secara tiba-tiba membelok ke kanan untuk memasuki simpang berkenaan menyebabkan Proton Preve dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah depan gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.

“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala," katanya, semalam.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Kemaman (HK).

“Pemandu Proton Preve dari Taman Kijal, Beris Nanas itu bekerja sebagai jurutera di tempat sama dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan," katanya.

Katanya, jenazah mangsa diserahkan kepada keluarganya selepas selesai bedah siasat pada jam 1.55 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintendan Normanshah Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 10:15 AM