Oleh Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggarkan seramai 80 rakyat negara ini menyertai Kumpulan Pengganas Negara Islam (IS) di Syria.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas PDRM Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, seramai 63 orang termasuk sembilan wanita sudah dikenal pasti identiti mereka.

“Kita sudah kenal pasti 63 orang di sana, namun kita anggarkan 80 rakyat Malaysia masih berada di negara itu termasuk tujuh adalah kakitangan kerajaan.

“PDRM kini giat menjalankan usaha mengenal pasti saki-baki rakyat Malaysia di sana,” katanya pada sidang media selepas menjadi ahli panel dalam Forum Perdana sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-208 di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan peserta Pencetus Ummah Ahmad Faiz Hafizudin Rosli.

Seramai 2,000 orang menghadiri forum selama dua jam itu yang diadakan di Balai Islam Lundang, di sini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, PDRM sudah menahan 107 suspek membabitkan 87 lelaki dan 20 wanita yang menyertai militan IS sejak Februari tahun lalu hingga 25 April lalu.

“Berdasarkan statistik, seramai 30 orang yang berlepas ke Syria bagi tempoh enam bulan pertama tahun lalu sudah meningkat kepada 60 orang bagi tempoh enam bulan terakhir dan ia menunjukkan tiada tanda-tanda rakyat Malaysia yang dipengaruhi berkurangan,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, kurang 10 orang yang menghubungi PDRM memohon bantuan bagi membawa mereka pulang semula ke Malaysia.

“Kebanyakan mereka mulai sedar IS bukan jihad sebenar. Bagaimanapun, kita menghadapi kesukaran membawa mereka pulang kerana Syria tidak mempunyai kerajaan yang kukuh dan jika kita mahu membawa mereka pulang, mungkin perlu minta bantuan dari negara ketiga seperti Turki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 9:25 AM