NAJIB diiringi Anifah (kiri) ketika lawatan persiapan terakhir sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-26.
NAJIB diiringi Anifah (kiri) ketika lawatan persiapan terakhir sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-26.

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam melawat venue Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 bagi melihat persiapan menjelang mesyuarat pemimpin serantau yang akan dipengerusikan buat kali keempat oleh Malaysia.

Pelbagai acara telah diatur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjelang majlis perasmian pada Isnin, termasuk majlis makan malam gala pada malam sebelumnya bagi meraikan pemimpin ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak tahunan itu.

Semasa lawatan ke KLCC itu, Najib diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perdana Menteri melawat Dewan Pleno KLCC di mana perasmian sidang kemuncak yang akan berlangsung selama dua hari mulai hari ini.

Beliau dilihat meninjau antaranya susunan tempat duduk pemimpin serta sistem audio.

Perdana Menteri yang kemudiannya disertai isterinya Datin Seri Rosmah Mansor juga diberi taklimat mengenai apa yang diatur pada majlis makan malam gala yang dihoskan beliau dan Rosmah.

Semasa ditanya pemberita mengenai raptai persembahan yang disediakan pada majlis makan malam gala berkenaan, Najib menyatakan rasa puas hatinya dengan berkata: “Saya gembira dengan persembahan itu. Ia menarik.”

Sidang kemuncak berkenaan akan didahului dengan siri mesyuarat awal hari ini, termasuk Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di mana Malaysia akan diwakili oleh Anifah.

Program hari ini juga termasuk Forum Kepimpinan ASEAN Ke-12.

Sidang Kemuncak diadakan di dua lokasi iaitu di ibu negara, Kuala Lumpur dan pulau Langkawi di utara negara.

Ditubuhkan pada 1967, ASEAN terdiri daripada 10 negara iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun 1977, 1997 dan 2005. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:18 AM