Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Hasrat kerajaan negeri untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang berharap pembentangan rang undang-undang itu mendapat sokongan semua pihak.

“Beta difahamkan kerajaan negeri Kelantan berhasrat membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta 355 dan Peruntukan 76A1 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

“Semoga beroleh kejayaan dengan sokongan semua pihak, Insya-Allah,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-13 di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan titah Sultan Muhammad V itu sebagai pembakar semangat untuk kerajaan negeri merealisasikan hukum hudud di negeri ini.

“Titah Sultan Muhammad V menjadikan kita rasa bersemangat dan kita berharap akan memperoleh sokongan 100 peratus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir Rabu ini,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan negeri akan membentangkan rang undang-undang pindaan hudud pada 18 Mac nanti.

Rang undang-undang itu sepatutnya dibentangkan pada 29 Disember tahun lalu, namun ditangguhkan berikutan banjir besar melanda negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:25 AM