ISMAIL (kanan) menunjukkan lori yang berjaya ditemui semula.
ISMAIL (kanan) menunjukkan lori yang berjaya ditemui semula.
Oleh Isma Ismail

Johor Bahru: Satu kumpulan curi kenderaan dan samun kargo yang dipercayai turut dianggotai wanita diberkas susulan kes melarikan sebuah lori sarat dengan muatan besi cerucuk bernilai RM175,000 di Skudai di sini, pada 20 April lalu.

Susulan kejadian malam Isnin itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat daerah (IPD) Johor Bahru Utara yang menerima maklumat menahan seorang lelaki dan wanita di kawasan itu yang dipercayai terbabit dalam jenayah itu.

Tindakan pantas hasil soal siasat terhadap mereka itu, polis melakukan beberapa lagi serbuan dan menahan tiga lelaki serta seorang wanita di Taman Sri Pulai di sini, bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata, semua enam suspek berkenaan berusia antara 23 dan 43 tahun berasal dari Johor dan Kedah.

Menurutnya, siasatan lanjut juga berjaya membantu polis menemui semula lori yang disamun itu bersama muatannya.

Katanya, pihaknya turut merampas 25 unit telefon bimbit dipercayai dicuri, sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang di Skudai dan sebuah lori jenis Nissan dilaporkan hilang di Tampin, Negeri Sembilan.

“Sebuah kereta Proton Saga juga dirampas daripada kumpulan suspek berkenaan selepas mendapati ia dilaporkan hilang di Skudai serta alat tulis yang dipercayai dilarikan dalam kejadian samun kargo di Tampin sebelum ini.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap kumpulan itu dan kami yakin berjaya menyelesaikan sekurang-
kurangnya empat kes serupa di negeri ini,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Menurutnya, semua suspek direman sehingga 26 April untuk siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan samun kediaman di sekitar kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar pada Isnin lalu.

Menurut Ismail, lelaki itu ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai dua lelaki mencurigakan memunggah sesuatu ke dalam sebuah kereta Toyota Camry.

Katanya, rakan suspek tidak berjaya ditahan selepas menyedari kehadiran sepasukan polis bergegas ke lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati suspek dikehendaki polis berkaitan kes curi kenderaan di Bukit Sentosa, Selangor, manakala semakan terhadap kenderaan dinaikinya itu dilaporkan hilang di Rawang, Selangor.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan menjumpai alat pecah rumah seperti kuku kambing, pemotong besi dan barangan hasil kegiatannya iaitu enam telefon bimbit, dua televisyen serta sepaket dadah dipercayai jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut membolehkan polis melakukan serbuan dan rampasan di beberapa kawasan di Taman Tun Aminah, Taman Daya dan Skudai.

Katanya, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria dan Volvo S80 yang dilaporkan hilang di Taman Tun Aminah serta Taman Perling turut dirampas, selain itu dua kad pengenalan, kad mesin juruwang automatik dan lesen memandu atas nama orang lain dipercayai milik mangsa samun turut dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 10:00 AM