GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Johor Bahru: Lelaki yang kononnya mahu membunuh diri dengan bergayut di tingkap sebuah hotel di sini semalam, hingga viral di media sosial, sebenarnya seorang daripada tiga anggota geng samun.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Jokhiri Abd Aziz berkata, kejadian berlaku ketika polis menyerbu bilik disewa ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 25 tahun di Taman Scientex, Pasir Gudang, di sini, pada 1.15 tengah hari.

Dalam serbuan itu, seorang daripada mereka ditahan di bilik berkenaan selepas bergelut dengan anggota polis manakala seorang lagi terjun dari aras tiga melalui tingkap hotel menyebabkan kakinya patah dan cedera di tulang belakang.

"Suspek ketiga pula cuba melarikan diri dengan meniti dan bergayut pada belebas tingkap dan tepi bangunan, dan kemudian terjun ke bumbung tingkat satu hotel, mengakibatkannya cedera di bahu.

"Kedua-duanya berjaya diberkas dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jokhiri berkata berdasarkan semakan, ketiga-tiga suspek, mereka adalah warga tempatan, Filipina dan Indonesia.

Pemeriksaan dalam bilik hotel menemui dua parang, satu pisau, satu tukul besi, empat telefon bimbit, dua jam tangan, tiga kunci motosikal dan satu topi keledar.

Turut dirampas, sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dilaporkan hilang di Taman Scientex, Pasir Gudang.

"Kumpulan ini disyaki terbabit dalam samun hotel bajet dan curi kenderaan sekitar Johor Bahru sejak tiga bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 9:03 PM