Johor Bahru: “Kami hanya mahukan keadilan,” kata abang ipar kepada pegawai bank, Kiven Ho Chin Tau, 33, yang maut selepas ditikam pengawal keselamatan dalam kejadian amuk di sebuah bank di Taman Molek di sini, kelmarin.

Bryan Tan, 36, berkata demikian kepada Ketua Polis Johor Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang melawat keluarga mangsa di Tampoi di sini, semalam.

“Ini soal nyawa, satu nyawa hilang, saya sedih kerana adik mengandung, tetapi ayah bayi itu tiada,” katanya sambil menangis.

Kiven, 33, berkahwin dengan isterinya yang juga pengurus akauntan, Tan Li Yan, 34, sejak lima tahun lalu dan kini wanita itu disahkan mengandung lima bulan anak pertama mereka.

Difahamkan, mangsa juga baru beberapa bulan dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Bahagian Jualan bank berkenaan.

Sementara itu, bapa mangsa, Ho Guan Bee, 62, dia sekeluarga yang tinggal di Tawau, Sabah bergegas ke Johor Bahru sejurus menerima berita kematian anaknya itu.

Dia yang sedih mendengar perkhabaran itu tiba di bandar raya ini jam 12 tengah hari, semalam.

Sementara itu, Mohd Mokhtar turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terutama buat isteri mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:28 AM