ANGGOTA  unit forensik    mengangkat mayat    kakitangan bank yang   ditikam pengawal keselamatan   di Taman Molek, semalam.
ANGGOTA unit forensik mengangkat mayat kakitangan bank yang ditikam pengawal keselamatan di Taman Molek, semalam.
Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: “Suspek sempat memberikan nombor giliran kepada saya,” kata pelanggan sebuah bank ketika menceritakan detik sebelum pengawal keselamatan menikam pegawai bank berusia 33 tahun hingga mati dan mencederakan kakitangan wanita di Taman Molek di sini, petang semalam.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Wong, 53, berkata, ketika menunggu giliran dia terdengar bunyi bising di dalam bank.

“Saya toleh ke belakang dan nampak pengawal keselamatan tadi mundar-mandir dan memaki hamun sambil memegang pisau.

“Melihat keadaannya begitu, saya bersama 10 lagi pelanggan di dalam premis terkejut lalu berlari keluar kerana bimbang lelaki itu bertindak agresif terhadap kami pula,” katanya.

Dia yang bekerja di Singapura pergi ke bank berkenaan bagi urusan berkaitan kad mesin juruwang automatik (ATM) untuk anaknya.

Menurutnya, dia tidak tahu punca hingga pengawal keselamatan berkenaan boleh bertindak begitu walaupun berada bersamanya ketika detik terakhir sebelum lelaki itu mengamuk.

Difahamkan, mangsa yang maut itu Pengurus Bahagian Jualan bank berkenaan dikenali sebagai Kiven Ho Chin dan sudah 10 tahun berkhidmat dengan syarikat kewangan terbabit.

Mangsa juga dikatakan menunggu kelahiran anak pertama kerana isterinya dipercayai hamil empat bulan.

Wanita berusia lingkungan 50-an yang turut dicederakan suspek hanya cedera ringan di muka dipercayai ditoreh lelaki itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian amuk dalam bank terbabit jam 3.50 petang.

Menurutnya, pegawai bank yang maut itu ditemui terbaring dalam ruang pejabat bank terbabit dengan kesan cedera di muka dan leher.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang maut itu dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam iaitu pisau.

“Seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian itu berusia lingkungan 40-an ditahan di tempat kejadian.

“Suspek itu warga tempatan dan berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di bank terbabit serta bertugas ketika kejadian.

“Motif kejadian masih dalam siasatan, kami turut meneliti beberapa bukti termasuk rakaman CCTV (kamera litar tertutup) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:24 AM