Johor Bahru: Polis menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui motif utama kejadian amuk membabitkan pengawal keselamatan menikam mati pegawai bank dan mencederakan wanita di Taman Molek di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Seri
Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, satu pasukan khas ditubuhkan dan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan.

Menurutnya, siasatan dijalankan secara menyeluruh dari pelbagai aspek terutama bagaimana dan mengapa suspek memasuki bangunan bank, naik ke ruang pejabat dan menyerang mangsa.

Katanya, suspek berusia 44 tahun itu dilaporkan bertugas sebagai pengawal statik menjaga bangunan dan tempat letak kereta.

“Terlalu banyak persoalan perlu disiasat bagi mengetahui motif kejadian. Beri ruang kepada polis menjalankan siasatan lanjut.

“Berdasarkan maklumat, suspek sebelum ini mempunyai pelbagai pekerjaan dan dilaporkan mula bekerja di bank berkenaan pada 24 Januari tahun lalu serta tidak mempunyai lesen membawa dan menggunakan senjata api,” katanya yang ditemui ketika melawat keluarga mangsa yang maut, Kiven Ho Chin Tau, 33, di Tampoi di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, suspek kini direman seminggu bermula semalam dan kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin untuk dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi memastikan suspek dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati suspek tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta tiada rekod jenayah lampau.

Menurutnya, seorang lagi pegawai bank yang cedera, R Vasantha Devi, 54, dibenarkan keluar hospital semalam dan akan dipanggil untuk merakam percakapan sebagai saksi utama kejadian itu.

Ketika ditanya berhubung dakwaan suspek mempunyai masalah mental, Mohd Mokhtar hanya mengingatkan dan menasihati semua pihak tidak memanipulasi insiden amuk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:31 AM