ANAK perempuan kepada taikun dadah terkenal dunia berkahwin dengan sepupunya. FOTO Instagram
ANAK perempuan kepada taikun dadah terkenal dunia berkahwin dengan sepupunya. FOTO Instagram
Agensi

MEXICO CITY: Gereja di Culiacán, Sinaloa, di Mexico, ditutup dan dikawal ketat untuk satu perkahwinan gilang-gemilang.

Bagaimanapun, pasangan pengantinnya bukanlah selebriti sebaliknya anak kepada dua kartel dadah yang turut terbabit jenayah pengubahan wang di negara berkenaan.

Media tempatan melaporkan anak perempuan kepada taikun dadah terkenal dunia, El Chapo berkahwin dengan sepupunya yang juga didakwa terbabit dalam kegiatan haram itu.

Pengantin perempuannya, Alejandrina Gisselle Guzmán Salazar, 33, manakala pengantin lelaki adalah Édgar Cázares.

Pengantin lelaki itu adalah anak saudara Blanca Margarita Cazares. Ibu saudaranya itu dikatakan terbabit dengan kartel pengubahan wang haram yang terkenal dengan jolokan ‘The Empress.’

New York Post melaporkan majlis tertutup tetapi mewah itu diadakan dengan kawalan keselamatan yang amat ketat.

Sementara itu, akhbar Reforma melaporkan ada tetamu yang tiba di gereja dengan menaiki kenderaan mewah kalis peluru.

Bapa pengantin perempuan, Joaquin “El Chapo” Guzman kini menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di Colorado, Amerika Syarikat, akibat pelbagai jenayah termasuk pengedaran dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:45 AM