SERAMAI 13 pasangan pengantin bergambar kenangan selepas selesai majlis akad nikah di pentas utama kawasan parkir Masjid Jamek Bandar Kota Tinggi.
SERAMAI 13 pasangan pengantin bergambar kenangan selepas selesai majlis akad nikah di pentas utama kawasan parkir Masjid Jamek Bandar Kota Tinggi.
Oleh Ahmad Othman

Kota Tinggi: Tiga belas pasangan pengantin selamat dinikahkan di Masjid Bandar Kota Tinggi di sini, semalam pada Program Seiring Sejalan ‘Aku Terima Nikahnya’ sempena Ekspo Halal dan Ihtifal Kesenian Islam Peringkat Daerah Kota Tinggi.

Pentadbir Agama Islam Daerah Kota Tinggi Mohd Fauzi Bachok berkata, semua pengantin terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk mualaf, Orang Asli dan juga asnaf miskin berumur 21 tahun hingga 63 tahun.

“Setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM700 saja untuk urusan perkahwinan merangkumi majlis akad nikah, jamuan serta persandingan. Bagi lima pasangan asnaf miskin, kos perkahwinan mereka ditaja Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Kami gembira dan bersyukur kerana program menunjukkan peningkatan dari segi penambahan pengantin berbanding hanya lapan pasangan tahun lalu,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Operasi MAINJ Ramli Jusuh dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Mohd Noorazam Osman.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya menggunakan khidmat enam jurunikah sempena majlis itu, selain mengikut sunah dengan menganjurkannya pada Jumaat.

Menurut beliau, program itu satu daripada usaha MAINJ melalui Pejabat Agama Daerah untuk membantu masyarakat, khasnya ibu bapa menjimatkan perbelanjaan majlis perkahwinan anak mereka.

“Tambahan pula, kos perkahwinan pada masa ini bukan murah dan melalui majlis pernikahan beramai-ramai, ia secara tidak langsung membantu mereka yang mahu mendirikan masjid,” katanya.

Bagi pengantin baru Orang Asli, Zahari Mat, 25, dia gembira kerana perkenalan dengan wanita pilihannya sejak beberapa tahun lalu berakhir dengan ikatan perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 8:59 AM