SOFEA (kiri)dan Syafinaz turut menyertai lawatan
SOFEA (kiri)dan Syafinaz turut menyertai lawatan
FAUZI dan Lisdawati bertanya khabar kepada Adrian Rezaril (kanan).
FAUZI dan Lisdawati bertanya khabar kepada Adrian Rezaril (kanan).
Oleh Norhayati Nordin


Tidak semua orang bernasib baik, ada yang menerima pelbagai ujian termasuk menjaga anak yang sakit di hospital.

Itulah pengorbanan ibu bapa yang dikongsi ketika menyertai Lawatan Kasih Ramadan dan Aidilfitri Keluarga Diraja Selangor diketuai Tengku Loreta Tengku Datuk Setia Ramli ke Wad Pediatrik Onkologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.

Ternyata tidak semua ibu bapa mampu memikul ujian berat Yang Maha Esa apabila anak tersayang disahkan mengalami masalah kesihatan kronik.

Program amal tahunan anjuran Pertubuhan Belia Wawasan Baharu (PBWB) dengan kerjasama beberapa syarikat korporat prihatin ini turut diserikan dengan selebriti tanah air, Datin Sofea Jane, Fauzi Nawawi, Lisdawati dan Syafinaz Selamat.

Pengerusi PBWB, Mohamad Sirajuddin Jalil berkata, ini tahun ketiga program amal Lawatan Kasih Ramadan dan Aidilfitri Keluarga Diraja Selangor ke Wad Pediatrik Onkologi HKL.

Katanya, tahap kesedaran masyarakat terhadap penyakit kanser kanak-kanak di negara ini masih rendah.

“Objektif program amal ini memberi sokongan moral kepada ibu bapa yang berhadapan ujian besar apabila anak mereka disahkan menghidapi kanser.

“Selain sokongan buat ibu bapa, program lawatan amal yang turut memberi sumbangan barangan mainan dan makanan ini membantu menceriakan kanak-kanak di wad.

“Tidak terkecuali, sumbangan kewangan kepada ibu bapa pesakit untuk membantu meringankan beban,” katanya.

Sementara itu, Sofea berkata dia turut sama menyertai lawatan itu bukan sebagai selebriti tetapi lebih kepada berkongsi perasaan hati ke hati sesama ibu.

“Ini bukan kali pertama saya sertai lawatan ke Wad Pediatrik Onkologi HKL. Sudah beberapa kali saya datang untuk memberi sokongan moral kepada ibu yang tabah menjaga anak mereka di sini.

“Setiap kali datang, hati ini memang sangat tersentuh. Apatah lagi semua ibu bapa yang menjaga anak di wad ini cukup tabah dan cekal menghadapi ujian.

“Terlalu besar dugaan mereka dan sokongan moral memang amat diperlukan. Selain itu, pesakit pun saya dapati bersilih ganti.

“Ada pesakit yang saya pernah jumpa tahun lalu, tidak pula dilihat kali ini. Apa pun, hati saya sangat tersentuh melihatkan pengorbanan ibu bapa dan anak kecil yang tabah ini,” katanya.

Sofea juga berharap program lawatan amal untuk memberi sokongan moral kepada ibu bapa diuji tidak tertumpu pada Ramadan saja. Katanya, ia perlu lebih kerap dilakukan.

Bagi Fauzi, dia dan isteri sangat berbesar hati kerana dapat bersama meluangkan masa melawat dan menghiburkan kanak-kanak di wad itu.

“Apabila melawat anak yang masih kecil ini sakit, saya cukup tersentuh. Bahkan, saya juga mendapati ibu bapa yang berkorban menjaga anak mereka cukup cekal.

“Bukan mudah untuk memikul ujian dan dugaan berat sebegini, namun inilah ketentuan takdir. Apa pun, saya mendoakan semoga anak kecil yang sakit ini kembali sihat,” katanya.

Mengenai pembabitan selebriti dalam program lawatan amal seperti ini, Fauzi berkata sedikit sebanyak ia membantu menghibur dan menceriakan ibu bapa dan kanak-kanak yang menerima rawatan di wad itu.

Antara syarikat korporat turut sama terbabit dalam program amal ini ialah Camar Mestika Holding Sdn Bhd, Kumpulan Syarikat Perangsang Harmoni, Global Super Car Club London, HR Comm Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Adaza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:02 AM