Syanty Octavia Amry

Genting Highlands: Pelakon filem Adnan Sempit, Shaheizy Sam memenangi gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, yang berlangsung di Arena of Stars, di sini, malam tadi.

Beliau meraih 265,703 undian, sekali gus mengetepikan saingan daripada lima artis lain dalam kelompok finalis yang mendapat undi tertinggi kategori utama itu.

Berikutan kemenangan itu, Sam membawa pulang hadiah utama sebuah Toyota Camry Hybrid tajaan UMW Toyota Sdn Bhd dan sebuah trofi.

Trofi Bintang Paling Popular 2014 disampaikan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali diiringi Pengerusi Jawatankuasa ABPBH2014 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamsul Azree Shamsir pada majlis kemuncak ABPBH 2014 di sini, yang bertemakan Cinta.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Majlis gilang-gemilang yang berlangsung tiga jam itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM.

Terdahulu, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada Tan Sri SM Salim.

Kategori lain yang dimenangi oleh artis ialah Artis Baru Lelaki Popular (Hafreez Adam), Artis Komedi Wanita Popular (Didie Alias), Artis Duo Berkumpulan Popular (Akim & The Majistret), Pengacara TV Lelaki Popular (Datuk Aznil Nawawi), Penyampai Radio Wanita Popular (Fara Fauzana), Pelakon TV Lelaki Popular (Shah Iskandar), Artis Baru Wanita Popular (Ayda Jebat), Penyampai Radio Lelaki Popular (Johan), Pengacara TV Wanita Popular (Neelofa), Pelakon TV Wanita Popular (Nad Zainal), Artis Komedi Lelaki Popular (Abam), Penyanyi Lelaki Popular (Akim), Pelakon Filem Wanita Popular ( Siti Saleha), Penyanyi Wanita Popular (Adira) dan Pelakon Filem Lelaki Popular (Shaheizy Sam).

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis antaranya Ella, Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Hazama dan Elizabeth Tan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 7:43 AM