Klang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor yakin kerjasama Program PDRM ‘Safecam Partnership’ dengan agensi kerajaan dan swasta mampu mengawal kes jenayah di negeri itu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor Senior Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, sehingga kini terdapat 15 agensi di Selangor berdaftar dengan pihaknya.

“Selaras dengan konsep bersama mencegah jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan awam, program ini dilihat satu inisiatif PDRM untuk melihat pembabitan masyarakat dalam aktiviti pencegahan jenayah.

“Menerusi program ini, syarikat swasta dan agensi kerajaan yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka boleh menjadi anggota ‘Safecam PDRM’ dengan mendaftar CCTV mereka dengan pihak polis,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum (MoU) Persefahaman program itu bersama lima agensi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, semalam.

Mou berkenaan ditandatangani Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat bersama lima agensi iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah; GM Klang Wholesale City; Bukit Tinggi Primx Enterprise Petronas Station; Thangaram Jewellers Sdn Bhd dan IV Restoran sambil disaksikan Mohan Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 9:12 AM