ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran stor barangan permainan kanak-kanak.
ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran stor barangan permainan kanak-kanak.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Sebuah stor yang menyimpan permainan kanak-kanak bernilai lebih RM500,000 musnah terbakar mendadak awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, api dipercayai bermula dari bahagian dalam stor terletak di Jalan Raja Laut di sini, sebelum merebak ke dua premis bersebelahan.

Salah seorang saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Salim, 33, berkata, asap tebal keluar melalui pintu belakang stor itu sebelum disedarinya.

Dia yang juga pekerja sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan itu mendakwa api mula menjulang naik sebelum membakar stor dua tingkat berkenaan.

“Stor itu sudah lama beroperasi dan semasa kejadian tiada siapa berada di premis itu,” katanya.

Sementara itu Timbalan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Abu Obaidat Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.36 pagi sebelum tiba 10 minit kemudian bagi mengawal kebakaran.

Katanya, punca sebenar kebakaran masih disiasat bahagian forensik bomba sama ada terdapat unsur khianat atau sebaliknya.

Difahamkan kerugian dianggarkan RM500,000 dan pihak bomba sedang mengesan pemilik stor berkenaan bagi membantu siasatan.

“Sebanyak lima jentera digunakan dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Sentul dan Hang Tuah. Api berjaya dikawal satu jam kemudian sebaik jentera pertama tiba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 7:32 AM