KEADAAN rumah kedai yang terbakar. FOTO Zuhairi Zuber
KEADAAN rumah kedai yang terbakar. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Lima kedai separuh kekal musnah dalam satu kebakaran di Pekan Sungai Udang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, kebakaran dipercayai bermula dari kedai menjual telefon sebelum merebak ke deretan premis yang lain.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat negeri, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.23 malam, tiga jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, BBP Tangga Batu dan BBP Jalan Kubu bersama 25 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba dilokasi api sedang marak 50 peratus dan bomba terpaksa mengawal api daripada terus merebak ke bangunan bersebelahan.

"Disebabkan struktur bangunan separa kekal api merebak dengan cepat bagaimanapun kami berjaya menyelamatkan lapan lagi kedai di bangunan bersebelahan jika tidak keadaan pasti bertambah buruk.

"Ketika kejadian tiada mangsa didalam premis dan kebakaran bermula dikedai pertama yang menjual telefon bimbit," katanya.

Menurutnya, kerugian barangan yang musnah daripada kelima-lima kedai itu dianggarkan lebih RM500,000 tidak termasuk nilai premis selain punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2016 @ 1:12 PM