Keadaan rumah kedai yang terbakar di Jitra menyebabkan kerugian kira-kira RM500,000. - Foto AMRAN HAMID
Keadaan rumah kedai yang terbakar di Jitra menyebabkan kerugian kira-kira RM500,000. - Foto AMRAN HAMID
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Empat rumah dan bahagian atas lima rumah kedai musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian kira-kira RM500,000 di Taman Jitra, di sini, malam ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika kebanyakan penghuni berada dalam rumah tetapi sempat melarikan diri sebaik menyedari kediaman mereka terbakar.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mustaffa Kamal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.40 malam dan dua jentera serta sebuah EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra tiba di lokasi jam 8.45 malam.

Beliau berkata, setibanya di lokasi didapati empat rumah separa kayu dan papan, 100 peratus musnah dalam kebakaran itu.

Bagaimanapun, katanya, lima premis terdiri daripada sebuah kedai cermin, dua kedai besi dan dua buah kedai servis kereta hanya terbakar di tingkat atas sahaja.

"Api berjaya dikawal jam 9.16 malam dan dipadam sepenuhnya pada jam 10.30 malam.

"Setakat ini kerugian dianggarkan berjumlah hampir RM500,000 namun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 11:37 PM