MOHD Iskandar  (kiri) bersama adiknya hadir  melihat perarakan Sultan Johor behampiran Gerbang Mahkota Istana Bukit Serene.
MOHD Iskandar (kiri) bersama adiknya hadir melihat perarakan Sultan Johor behampiran Gerbang Mahkota Istana Bukit Serene.

Johor Bahru: “Anak saya selalu bertanya kenapa namanya sering disebut di televisyen sehingga mengajak saya melihat sendiri siapa yang namanya itu sama dengannya,” kata Mohd Zuldin Mohd Amin, 42, bercerita mengenai anaknya, Mohd Iskandar, 8, yang sering bertanya setiap kali terdengar nama Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar disebut di televisyen.

Mohd Zuldin berkata, setiap kali ditanya, dia menerangkan mengenai Sultan Johor dengan Sultan Iskandar ialah ayahanda baginda serta memberitahu anaknya boleh berjumpa Tuanku pada Istiadat Kemahkotaan yang berlangsung semalam.

Bagi memenuhi kehendak anak sulung daripada empat beradik itu, Mohd Zuldin bersama isteri serta anak-anaknya bertolak dari Parit Raja, Batu Pahat, seawal jam 6.15 pagi dan tiba tepat pada masanya menyaksikan perarakan Sultan Johor keluar dari Istana Bukit Serene ke Istana Besar kira-kira jam 9.20 pagi.

“Kami anak-beranak teruja kerana ini kali pertama kami menyaksikan Sultan Johor di depan mata, apatah lagi berpeluang hadir ke majlis Istiadat Kemahkotaan ini,” katanya.

Warga emas, Mohd Ilias Marjuki, 78, berkata dia datang menyaksikan majlis Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor kerana tidak berpeluang melakukannya pada istiadat sultan terdahulu, kira-kira 55 tahun lalu.

“Walau apa pun, saya mesti datang tengok Tuanku Sultan Johor sebab tahu ini saja peluang yang saya ada untuk melihatnya lebih dekat ketika Istiadat Kemahkotaan yang bukan selalu boleh disaksikan,” katanya.

Sementara itu, kontraktor, Calvin Chang, 33, terpaksa meninggalkan dua anak kecilnya di rumah kerana sudah terlewat untuk hadir di pintu Istana Bukit Serene bagi meraikan hari bersejarah itu.

“Anak-anak masih tidur dan saya tidak mahu ganggu mereka. Nasib baik sempat melihat Sultan Johor keluar dari istana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 10:24 AM