SULTAN Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah keluar dari Istana Besar.
SULTAN Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah keluar dari Istana Besar.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bersama Raja Zarith Sofiah Idris Shah menjalani raptai penuh Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Istana Besar di sini, semalam.

Ketibaan pasangan diraja berkenaan disambut oleh ketua jabatan kerajaan negeri dan diiringi lagu Bangsa Johor yang dimainkan oleh 35 anggota Unit Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).

Sultan Johor kemudian memasuki bahagian dalam Istana Besar untuk melangsungkan upacara Istiadat Kemahkotaan yang dijalankan secara tertutup.

Perarakan keluar baginda diiringi oleh kerabat Diraja, barisan pemimpin kerajaan negeri bersama konvoi motosikal Harley Davidson Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut diadakan lintasan udara oleh tujuh helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Darat Malaysia (TDM).

Dianggarkan 40,000 rakyat Johor daripada pelbagai latar belakang hadir bagi menyaksikan perarakan kenderaan sejauh lapan kilometer bermula dari Istana Bukit Serene ke Istana Besar di sini, pada 23 Mac nanti.

Esok akan berlangsung Istiadat Siram Tabal yang diadakan pada jam 3 petang di pekarangan Bukit Bintang, Istana Besar.

Istiadat itu hanya dihadiri tetamu jemputan terdiri daripada kerabat diraja dan juga Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:47 AM