Johor Bahru: Kerajaan negeri tiada kaitan dengan penganjuran konsert yang menyenaraikan dua artis antarabangsa di Teluk Danga, di sini, pada 26 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Abd Mutalib Abd Rahim berkata, kerajaan negeri sebaliknya akan menganjurkan majlis ‘Malam Cinta Rasul’ pada 27 April depan sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, 23 Mac ini.

Menurutnya, artis antarabangsa dari Amerika Syarikat, Black Eyed Peas dan T-Ara dari Korea Selatan yang disenaraikan pada konsert 26 Mac itu juga tidak dibenarkan membuat persembahan sebaliknya hanya membabitkan artis tempatan.

Katanya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar turut bertitah perkenan berhubung larangan itu kerana ketidaksesuaian kedua-dua artis asing terbabit dengan istiadat penuh bersejarah serta budaya bangsa Johor sendiri.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim berkata, segala persiapan sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Sultan Johor kelima, berjalan lancar dan semua pegawai kerajaan sudah bersedia menjalankan tugasan masing-masing.

“Semua aspek diberi penelitian rapi, khususnya protokol serta adat budaya istiadat itu. Selain proses menghias bandar raya Johor Bahru, setiap acara sepanjang istiadat berlangsung dari Istana Bukit Serene hingga Istana Besar Johor turut dipantau,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan turut menyediakan lima skrin gergasi tambahan di beberapa lokasi sepanjang laluan antara kedua-dua istana untuk memberi peluang rakyat menyaksikan secara langsung istiadat pada 23 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:27 AM