Kuala Lumpur: Sara anak dengan wang dadah. Itu dilakukan seorang duda anak tiga yang melakukan kerja sampingan mengedar dadah jenis ganja di sekitar Lembah Klang.

Kegiatan lelaki berusia 41 tahun itu terbongkar selepas polis dari Bahagian Narkotik Daerah Wangsa Maju menahannya dan merampas 37.5 kilogram dadah ganja bernilai RM94,000 Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata, lelaki itu ditahan jam 3 petang ketika dia menunggang motosikal Yamaha LC dan berhenti di tepi Jalan Padang Balang, Setapak.

Menurutnya, suspek yang bekerja menjual alat ganti motosikal dipercayai sudah melakukan kegiatan pengedaran dadah itu sejak lima bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah ganja seberat satu kilogram.

“Polis kemudian memeriksa kediamannya di Taman Setapak dan merampas 36 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah ganja dan sepeket plastik lutsinar kecil berisi ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Hong Soon berkata, siasatan mendapati dadah itu diperoleh dari utara tanah air dan untuk dijual di pasaran tempatan.

Menurutnya, suspek kini direman sehingga 17 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:32 AM