Kuala Lumpur: Kerajaan akan memantau dan memastikan Penerbangan Malaysia (MAS) membayar pampasan kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara itu turut dipersetujui kerajaan China bagi memastikan kebajikan, masalah dan permintaan anggota keluarga terbabit, susulan pengisytiharan kerajaan pesawat MH370 sebagai nahas dan semua penumpang dan anak kapal dianggap terkorban.

“Kita akan memastikan MAS bertanggungjawab untuk berhubung dengan waris terdekat mangsa dan berbincang dalam apa jua sudut bagi memudahkan apa-apa permintaan anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370,” katanya selepas merasmikan Seminar Pemantapan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Cina di Wisma MCA, semalam.

Liow berkata, beliau serta Jawatankuasa Waris MH370 akan memantau perkembangan kebajikan anggota keluarga itu..

“Jawatankuasa itu juga turut mewujudkan laman web bagi memudahkan anggota mendapatkan maklumat terkini dan mengemukakan sebarang pertanyaan berhubung perkembangan misi pencarian MH370,” katanya.

Liow menegaskan kerajaan mempunyai pelan komprehensif bekerjasama dengan China dan Australia bagi meneruskan misi pencarian pesawat malang di Lautan Hindi tanpa suatu jangka masa dan kos yang ditetapkan.

Katanya, setakat ini, empat kapal termasuk Fugro Supporter selesai menjalani pencarian sejauh 16,000 kilometer (km) persegi daripada 60,000 km ruang ditetapkan di Lautan Hindi.
-BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:35 AM