Alor Setar: Seramai 101 individu termasuk lima wanita ditahan dalam Op Cantas/Dadu Tahun Baru Cina yang dilakukan di enam pusat hiburan dan restoran di bandar raya ini bermula Jumaat lalu sehingga awal pagi, semalam.

Dalam serbuan jam 1 hingga 5 pagi itu, sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar diketuai Inspektor Noor Azman Adnan menyasarkan beberapa premis rumah kedai dan pusat hiburan yang menjalankan kegiatan perjudian dan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Md Jan berkata, dalam serbuan Jumaat lalu, pihaknya menahan dua lelaki di dua pusat hiburan di Seberang Jalan Putra, di sini, kerana melanggar syarat lesen pusat hiburan kerana beroperasi melebihi masa.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan tiga lagi individu termasuk seorang wanita di sebuah pusat hiburan di Jalan Putra, di sini, kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Siasatan di dua pusat hiburan berkenaan mendapati pemiliknya melanggar syarat lesen pusat hiburan kerana beroperasi melebihi masa manakala tiga lagi ditahan atas kesalahan mengedar dadah.

“Dalam serbuan awal pagi tadi (semalam) kami menahan tujuh lelaki dan empat wanita termasuk dua warga Thailand yang sedang asyik bermain judi di sebuah restoran di Jalan Seberang Perak, di sini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pada operasi sama, pihaknya menyerbu sebuah pusat hiburan di Seberang Jalan Putra, di sini, dan menahan 85 individu termasuk penjaga, pekerja dan pelanggan premis berkenaan kerana pemiliknya beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 40 tahun dibawa ke IPD Kota Setar sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai proses dokumentasi dan direkod keterangan.

“Bagaimanapun daripada jumlah itu, seramai 16 individu ditahan termasuk lima wanita kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti melanggar syarat lesen pusat hiburan kerana beroperasi melebihi masa, tiada lesen, pengedaran dadah serta kesalahan aktiviti perjudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:17 AM