FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Polis tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti pensundalan di pusat hiburan yang menjadi lokasi seorang pegawai kanan dan 13 anggota polis ditahan, Sabtu lalu.

Bagaimanapun Ketua Polis (KP) Negeri Sembilan Dato Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ketika serbuan dijalankan pada jam 2.30 pagi itu, polis tidak menemui sebarang bukti berlakunya kegiatan berkenaan.

"Ini berdasarkan tangkapan terhadap 19 wanita warga Vietnam, 17 wanita warga China, sembilan wanita warga Thailand, tiga wanita warga Indonesia serta tiga wanita tempatan yang turut didapati positif dadah.

"Saya tidak menafikan mungkin berlakunya kegiatan pensundalan di pusat hiburan itu, mungkin. Namun polis tidak menemui bukti kukuh seperti kondom atau gel pelincir di lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas dakwaan kononnya pusat hiburan itu dilindungi kerana polis sendiri berhibur sehingga jam 2 pagi dan mengambil dadah di premis berkenaan, beliau berkata, pihaknya sudah memberikan amaran keras kepada semua peringkat mengenai perkara ini.

"Kami akan siasat perkara ini. Sepatutnya kita (polis) yang menjalankan operasi dan saya juga sudah memberikan amaran serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit.

"Mereka yang ditahan ketika serbuan pada pagi Sabtu lalu sudah ditahan tugas. Pemantauan terhadap pusat hiburan dan anggota polis akan dibuat dengan lebih ketat selepas ini," katanya.

Beliau berkata, pusat hiburan itu sudah beberapa kali diserbu pihak berkuasa sebelum ini dan selepas serbuan oleh Jabatan Pematuhan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Sabtu lalu, pihaknya mencadangkan supaya lesen mereka dibatalkan.

"Hasil semakan mendapati pusat hiburan berkenaan mempunyai lesen yang dikeluarkan PBT dan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 pagi.

"Bagaimanapun ia didapati melanggar syarat lesen kerana beroperasi lebih masa iaitu sehingga jam 2 pagi. Saya mengarahkan pegawai supaya mencadangkan kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) supaya menarik lesen premis berkenaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan dan 13 anggota polis serta timbalan pendakwa raya ditahan dalam serbuan JIPS Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Seremban.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, polis turut menahan 51 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Myanmar dalam serbuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 3:48 PM