Mazlan (tengah) menunjukkan rampasan dadah di IPK Kuala Lumpur.FOTO Khairul Azhar Ahmad.
Mazlan (tengah) menunjukkan rampasan dadah di IPK Kuala Lumpur.FOTO Khairul Azhar Ahmad.
Norizuan Shamsuddin


POLIS menahan lebih 20 remaja bawah umur selepas terbabit penyalahgunaan dadah menerusi 21 serbuan terhadap ‘parti liar’ di ibu negara, sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua serbuan itu membabitkan parti persendirian yang dianjurkan di kondominium mewah dan pihaknya memeriksa 424 individu termasuk remaja berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, kita menahan 325 individu atas pelbagai kesalahan dan 252 daripadanya didapati positif dadah.

“Daripada jumlah itu, lebih 20 individu adalah remaja bawah umur yang didapati positif dadah.

“Turut dirampas pelbagai jenis dadah antaranya syabu, ganja, erimin 5 dan sebagainya dipercayai digunakan sewaktu berhibur di parti itu, yang dianggarkan RM68,942 selain wang tunai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, polis akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap penganjuran parti sebegitu yang semakin jadi tumpuan pelbagai golongan masyarakat terutama remaja bawah umur untuk berhibur.

Katanya, pihaknya juga turut meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pusat hiburan dengan fokus kepada enam perkara iaitu pengunjung bawah umur, kegiatan penyalahgunaan dadah, wanita pelayan pelanggan (GRO) atau pelacur warga asing tanpa permit, unsur gengsterism, perjudian dan beroperasi lebih masa.

Sepanjang tahun lalu pihaknya menyerbu 174 pusat hiburan menerusi 7,592 pemeriksaan dan hasilnya 1,818 individu ditahan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 6:27 PM