Kuala Pilah: Percutian sebuah keluarga untuk beriadah di Taman Rekreasi Ulu Bendul, Terachi, di sini, kelmarin bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dihempap dahan pokok ketika mandi di sebuah sungai.

Mangsa, Mohamad Haris Hazwan Muhamad Razi, 6, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini, pada jam 8.50 malam berikutan parah di kepala akibat dihempap dahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa bersama keluarganya, keluarga bapa saudara dan neneknya berkunjung ke taman rekreasi itu untuk bermandi manda.

Katanya, sejurus tiba di lokasi pada jam 11 pagi, bapa mangsa, Muhamad Razi Jusoh, 40 yang juga anggota tentera serta bapa saudaranya memasang khemah di tepi sungai berkenaan.

Katanya, mangsa dari Port Dickson, dekat sini, yang juga anak kedua daripada tiga beradik bertindak mandi sendirian, berhampiran kawasan khemah.

“Ketika sedang mandi pada jam 11.30 pagi, tiba-tiba sebatang dahan pokok sepanjang dua meter patah lalu menghempap kepala mangsa menyebabkannya tenggelam ke dalam air.

“Menyaksikan kejadian, bapa saudara mangsa bergegas terjun ke sungai untuk mendapatkannya.

“Mangsa kemudian dibawa mendapatkan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang berada di taman rekreasi sebelum dirujuk ke Klinik Kesihatan Terachi, di sini pada jam 1.40 petang,” katanya.

Menurutnya, menyaksikan mangsa dalam keadaan parah, dia dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, sebelum dibawa ke HTJS, dekat sini pada jam 4.50 petang kerana keadaannya kritikal.

“Bagaimanapun, pada jam 8.50 malam, mangsa disahkan meninggal dunia di HTJS akibat parah di kepala,” katanya.

Menurut Azmi, Muhamad Razi turut membuat laporan di Balai Polis Terachi, di sini pada jam 11.45 malam memaklumkan kematian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:28 AM