Seremban: “Sebelum kejadian, saya sedang memasang khemah untuk kegunaan ahli keluarga sebelum terdengar jeritan ibu mentua.

“Alangkah terkejutnya apabila mendapati ‘abang ngah’ (Mohamad Haris Hazwan) tenggelam dalam air selepas dihempap dahan berkenaan,” kata Muhamad Razi Jusoh, 40, seorang anggota tentera yang kematian anak lelaki akibat dihempap dahan pokok di Taman Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah, dekat sini, kelmarin.

Muhamad Razi berkata, dia tidak menyangka percutian dirancang ahli keluarga untuk beristirehat bertukar tragedi berdarah apabila anak keduanya, Mohamad Haris Hazwan, 6, maut dalam kejadian.

Katanya, sebelum kejadian, dia bersama kira-kira 12 ahli keluarga termasuk isteri, tiga anak, ibu mentua dan keluarga adik iparnya ke taman rekreasi terbabit dan memasang khemah.

Menurutnya, hanya kira-kira 20 minit khemah dipasang, Mohamad Haris Hazwan kemudian mandi sendirian, namun kelibatnya dipantau ahli keluarga.

“Saya kemudian dikejutkan jeritan ibu mentua meminta saya melihat ke arah sungai dan mendapati anak dihempap dahan pokok.

“Disebabkan itu, adik ipar bertindak terjun ke sungai berkenaan sebelum saya membawa ‘abang ngah’ mendapatkan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di taman rekreasi ini,” katanya.

Menurutnya, ketika itu, dia mendapati anaknya dalam keadaan parah apabila tempurung kepalanya kemek dan berlumuran darah daripada mulut dan matanya hampir terkeluar.

“Selepas anak dibawa ke Klinik Kesihatan Terachi, pegawai kesihatan meminta kami membawanya ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pada jam 4.50 petang,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu yang juga pesakit Autisme disahkan meninggal dunia pada jam 8.50 malam di HTJS selepas nazak beberapa jam.

Beliau yang juga anggota tentera di Port Dickson, dekat sini, berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan di kampung isterinya di Tanah Perkuburan Islam Tanah Putih, Pekan, Pahang, semalam.

“Saya dan keluarga reda dengan kejadian dan berharap kejadian sama tidak berulang ke atas kanak-kanak lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:28 AM