LAPORAN Harian Metro, 7 Ogos 2005.
LAPORAN Harian Metro, 7 Ogos 2005.
MAWI dan Ekin melayan pelanggan yang berkunjung ke butik mereka di Bangi.
MAWI dan Ekin melayan pelanggan yang berkunjung ke butik mereka di Bangi.
Garret Dawum

Bangi: “Populariti diraih semasa di Akademi Fantasia (AF) membuatkan saya fobia dan takut keluar rumah sehingga pernah berdoa kepada Tuhan kembalikan kehidupan normal,” kata penyanyi Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 35.

Dia yang menjadi juara AF musim ketiga menganggap populariti itu sebagai satu perkara luar biasa memandangkan sebelum itu dia hanya deejay karaoke sebuah restoran di Kulai, Johor.

“Hidup saya tidak pernah diperhatikan orang apa lagi diterjah ketika keluar di pusat beli-belah. Paling teruk, ada datang ke rumah dan mengaku dirinya berasal dari kerajaan langit yang mempunyai kuasa istimewa.

“Ketika itu, saya menganggap kehidupan sudah tidak ada dan hanya berehat di rumah jika bercuti,” katanya ketika ditemui Harian Metro di butik milik isterinya, di sini.

Menurut Mawi, emosinya juga terganggu ketika meraih populariti dan kini semuanya bergerak perlahan serta gembira dengan kehidupan normal dijalani bersama isteri, Nora’Ashikin Rahmat atau Ekin, 36, dan Cahaya Malaika, 4.

Katanya, perjalanan populariti itu juga banyak mengajar dirinya untuk bersabar dan bersikap matang dalam mendepani sebarang cabaran atau masalah.

“Tidak dinafikan kerana populariti itu, saya belajar menjadi diri sendiri dan tidak pernah takbur dengan apa yang diperoleh.

“Saya sentiasa ingat pada pesan seorang mak cik ditemui sewaktu menjalani penggambaran klip video di Perak yang berkata, kejayaan diperoleh berkat doa orang tua dan kerana nasihat itu, saya sangat menghormati orang tua,” katanya.

Menyandang gelaran juara AF3 pada 2005, Mawi berkata, ia meninggalkan banyak nostalgia buat dirinya dan masih menyimpan semua hadiah kemenangan.

“Rumah di A Famosa dan kereta Suzuki Swift masih dalam keadaan elok. Kereta itu menjadi kegemaran saya dan dipandu sehingga sekarang, manakala rumah pula akan disewakan kepada keluarga jika mereka datang bercuti ke Melaka.

“Gelaran Raja SMS, Gelombang Tsumawi dan Mawi World sebenarnya juga masih terpahat dan mekar dalam ingatan, malah setiap kali mengadakan persembahan, perkataan itu sering dilaungkan,” kata Mawi.

Berkenaan peminatnya pula, Mawi memberitahu, mereka masih berhubung seperti biasa dan mempunyai satu kelab peminat iaitu Sahabat Dunia Mawi dulunya dikenali sebagai Mawi FC.

Katanya, kelab peminat pernah mencecah 200,000 keahlian dari seluruh negara serta sukan seperti boling dan badminton sering dilakukan sebagai mengisi aktiviti bersama peminat.

“Sungguh tidak sangka penyertaan sebegitu ramai peminat dalam kelab itu sehingga saya pernah terjumpa pasangan suami isteri dikenali sebagai Haji Yahya dan Cikgu Tuminah memperkenalkan diri mereka sebagai peminat setia saya.

“Malah, mereka masih menyimpan sepanduk tertulis perkataan Persatuan Jawa Malaysia ketika saya bertanding dalam AF dan sepanduk itu diserahkan kepada saya,” katanya.

Ditanya mengenai album solo, Mawi masih belum terfikir merakamkannya walaupun mempunyai beberapa single baru termasuk Sahabat Dalam Tubuh, Kalah Dalam Menang dan Marilah Johena.

“Saya sentiasa mencari pembaharuan dalam lagu yang dihasilkan dan untuk Marilah Johena yang dirakam tidak lama lagi, saya menggunakan muzik reggae,” katanya.

Sementara itu, Ekin berkata, kehidupannya bersama Mawi bahagia dan penuh kasih sayang.

“Kami jalani kehidupan ini dengan tenang dan semuanya baik saja dengan perniagaan yang dilakukan secara bersama.

“Tanpa suami, perniagaan produk minuman kesihatan dan pakaian Muslimah tidak mungkin berjaya.

“Sehingga kini, kami berjaya membuka dua butik di Johor Bahru, Johor dan Bangi, Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 6:13 AM