Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Seramai 42,000 masyarakat Orang Asli dari 261 kampung di seluruh negara dilapor terjejas dalam bencana banjir yang melanda negeri pantai timur dan beberapa negeri lain baru-baru ini.

Ahli Dewan Negara mewakili masyarakat Orang Asli, Senator Datuk Mohamad Olian Abdullah berkata, daripada jumlah itu penduduk Orang Asli Kelantan paling ramai terjejas iaitu 7,995 orang membabitkan 67 kampung, khususnya di Gua Musang.

“Sehingga kini, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membelanjakan lebih RM2 juta untuk menyediakan keperluan makanan dan barangan keperluan asas untuk masyarakat Orang Asli yang terjejas akibat banjir.

“Kejadian banjir lalu menyebabkan masyarakat Orang Asli terputus hubungan termasuk kehilangan tempat tinggal kerana dibawa arus banjir,” katanya pada majlis melepaskan konvoi program Misi Bantuan Banjir Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Persatuan Orang Asli Prihatin Pahang (POAPP), di sini, semalam.

Program dirasmikan Pengerusi YKN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan turut dihadiri Ketua Unit Jabatan Kecemasan HKL, Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Rafek Reshidullah.

Mohamad Olian meminta pihak kerajaan menubuhkan badan pengurusan banjir bagi mengatasi kejadian itu daripada terus berulang.

Sementara itu, Shahrizat berkata, YKN memberi keutamaan terhadap aspek perubatan dan perawatan dalam usaha membantu mangsa banjir kerana keperluan kesihatan amat penting selepas bencana itu pulih.

“YKN sekali lagi turun ke lokasi banjir untuk menyalurkan pelbagai keperluan kepada mangsa banjir terutama bagi memastikan air yang diminum penduduk bersih selain rawatan kesihatan.

“Saya harap kita tidak menghentikan usaha membantu mereka walaupun banjir sudah pulih di banyak tempat,” katanya.

Konvoi misi bantuan yang bergerak dari Pekarangan Kompleks Pakar dan Rawatan Harian (SCACC), HKL disertai 44 sukarelawan termasuk dua doktor pakar dan empat pegawai perubatan dengan menaiki 11 pacuan empat roda.

Konvoi itu membawa bantuan barangan bernilai RM90,000 ke dua perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan untuk diserahkan kepada 250 orang penerima.

Antara barangan yang dibawa ialah penapis air, tilam dan bantal serta kit kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:26 AM