Mohd Roji Kawi

Kuching: Seramai 4,921 penerima bantuan tidak lagi memerlukan bantuan kerajaan apabila mereka berjaya keluar daripada garis kemiskinan tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kejayaan itu adalah hasil beberapa program dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, antaranya pelaksanaan '2 Years Exit Programme' (2YEP) yang membantu seramai 1,600 penerima bantuan untuk berada dalam zon selesa ketika ini.

"Menerusi pelbagai program ini, kita memberi bantuan modal, bimbingan serta peralatan bagi membolehkan penerima bantuan untuk berdikari bagi menjana pendapatan lebih.

"Sehingga tahun lalu, program yang dilaksanakan JKM ternyata berkesan mengeluarkan lebih 4,900 penerima bantuan daripada senarai rakyat miskin dan kita akan terus memantau yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kasih Ramadan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Jeti Balang Kampung Beradek, di sini, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menghadiriProgram Kasih Ramadan YKN, di Jeti Balang Kampung Beradek Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menghadiriProgram Kasih Ramadan YKN, di Jeti Balang Kampung Beradek Kuching. FOTO NADIM BOKHARI

Seramai 100 penduduk Kampung Beradek, Kampung Semilang dan Kampung Tiang Api menerima bantuan makanan sempena Ramadan pada program yang dianjurkan bersama Kumpulan Sunway itu.

Menurut Nancy, ramai kalangan penerima bantuan itu khususnya menerusi 2YEP bukan sahaja berjaya mengubah taraf hidup keluarga mereka, malah turut membantu orang lain dengan menyediakan peluang pekerjaan.

"Membantu keluar dari kepompong kemiskinan itulah matlamat program yang dilaksanakan oleh JKM.

"Kita tidak hanya menumpukan kepada pemberian bantuan tunai setiap bulan, malah membimbing mereka untuk meningkatkan pendapatan sekali gus tidak lagi menjadi penerima bantuan," katanya.

Sehingga hujung tahun lalu, seramai 533,167 individu disenaraikan dalam penerima bantuan dengan peruntukan disalurkan kerajaan berjumlah RM2.4 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 2:34 PM