SUMBANGAN barangan keperluan disampaikan Dr Ismail kepada masyarakat Orang Asli.
SUMBANGAN barangan keperluan disampaikan Dr Ismail kepada masyarakat Orang Asli.
Fazurawati Che Lah


PENDEDAHAN berkenaan bidang keusahawanan tidak terhad kepada kelompok individu tertentu apabila Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis, baru-baru ini, menyediakan Kursus E-Keusahawanan kepada masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong, Ulu Legong, Baling, Kedah.

Program itu berlangsung selama dua hari disertai 43 Orang Asli sempena Program Jalinan Kasih yang diadakan di perkampungan berkenaan.

Ia anjuran bersama Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS), Askar Wataniah, Sukarelawan YES PTSS serta RELA dari Perlis dan Kedah.

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, program itu bertujuan untuk memberikan galakan kepada masyarakat Orang Asli menjalankan perniagaan sendiri secara dalam talian.

“Kursus itu membantu mereka cara untuk meningkatkan pendapatan dari hasil produk, selain memasarkan barangan dalam talian dengan pemantauan PTSS.

“PTSS turut menyediakan prasarana bagi mereka menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Razali Kulim, sangat menghargai usaha PTSS kerana membantu membimbing golongan muda masyarakat Orang Asli dalam menjalankan perniagaan dengan cara yang betul.

“Saya berharap politeknik terus membimbing masyarakat Orang Asli untuk berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, penganjuran program itu memberi peluang kepada anak luar bandar untuk menambah baik kemahiran dan kebolehan mereka secara positif.

“Kursus sebegini menjadi platform kepada penduduk Orang Asli untuk mendapatkan bantuan dan mempelajari peluang serta kemahiran melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

“Saya percaya program ini memberikan ruang dan galakan kepada penduduk untuk terus berkecimpung dalam bidang perniagaan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pihak politeknik menyediakan program khas Pradiploma dan Diploma bersesuaian dengan kemahiran dimiliki Orang asli seperti kemahiran kraf tangan untuk dibangunkan serta diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa.

Sebelum itu, Dr Ismail turut melancarkan Portal Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong dan Modul Pembentukan E-Usahawan Masyarakat Orang Asli.

Dalam majlis itu juga, beliau menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada keluarga masyarakat Orang Asli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 9:25 AM