Zanariah Abd Mutalib dan Suhaila Shahrul Annuar


FESTIVAL Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2018 (Floria Diraja Putrajaya 2018) kini bukan saja dikenali sebagai produk pelancongan, malah acara ikonik yang menjadi penanda aras bagi industri landskap dan hortikultur negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata penganjuran festival yang masuk tahun ke-10 itu turut memperkukuhkan lagi imej Putrajaya sebagai bandar dalam taman, selain memberi manfaat kepada rakyat untuk menikmati keindahan alam sekitar.

Beliau berkata, Kementerian Wilayah dan Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku penganjur festival berkenaan semakin giat berusaha untuk meletakkan Putrajaya sebagai salah satu destinasi pada peta festival bunga-bungaan dunia.

“Usaha berterusan ini sudah membuahkan hasil dengan pencapaian 10 anugerah diterima mereka, simbolik dengan sambutan ulang tahun ke-10 mereka.

“Kita berhasrat agar Floria menjadi setaraf Festival Tulip Belanda yang diadakan di Keukenhof, Belanda setiap tahun dan menerima anggaran sejuta pengunjung dari lebih 100 negara setiap kali diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Floria Diraja Putrajaya 2018 di Anjung Floria, Presint 4 di Putrajaya, hari ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2018. Turut berkenan berangkat ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Majlis turut dihadiri Menteri Wilayah, Khalid Samad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Dr Wan Azizah berkata, pengiktirafan terbaharu diperoleh Floria adalah pelantikan ke Majlis Pameran Bunga Asia (CAFE) yang ditubuhkan di Korea Selatan dan ia satu penghormatan kepada Floria yang diakui sebagai bunga dan taman terbesar di rantau ini.

Katanya, pada tahun ini, Dialog Antarabangsa Floria Diraja yang diadakan sempena festival itu memberi peluang kepada pihak berkepentingan dan industri untuk berkongsi perkembangan terkini dan amalan terbaik industri.

“Dialog ini adalah landasan jaringan perniagaan dijangka menarik pemain industri berkaitan, bukan saja dalam kalangan peserta tempatan, malah antarabangsa, sekali gus mendorong ekonomi negara dan menjana peluang perniagaan bagi perusahaan kecil, sederhana dan besar,” katanya.

Floria Diraja Putrajaya 2018 dengan tema 10 Kegemilangan Floria diadakan selama sembilan hari bermula hari ini hingga 2 September depan.

Dalam pada itu, baginda Sultan Selangor turut membawa kamera bagi merakam sendiri gambar bunga-bungaan ketika mencemar duli melawat beberapa tarikan Floria Diraja Putrajaya 2018 seperti Taman Diraja Perak yang menempatkan replika Istana Kenangan Kuala Kangsar, selain taman ajaib dan Taman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Rendezvous.

Festival itu akan terus mempromosikan Putrajaya sebagai 'Bandaraya Dalam Taman' dan 'Bandaraya Bunga-Bungaan', sekali gus mengekalkan Putrajaya pada peta dunia sebagai lokasi penganjuran program antarabangsa.

Festival bunga dan taman yang menjadi ikon Putrajaya itu menjanjikan pengalaman menarik kepada pengunjung dengan komponen dan tarikan baharu termasuk taman ajaib, taman mini 'Hobbiton Malaysia', Taman Diraja Perak, taman fertigasi, pavilion bunga antarabangsa, pameran bonsai dan gubahan suiseki.

Lebih 400,000 pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan daripada pelbagai spesis dan kultivar menghiasi Anjung Floria.

Floria Diraja Putrajaya 2018 dibuka dari 9 pagi hingga 10.30 malam dari Isnin hingga Khamis dan dari 9 pagi hingga 12 tengah malam dari Jumaat hingga Ahad.

Maklumat lanjut termasuk harga tiket boleh didapati di http://floriaputrajaya.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 6:21 PM
SULTAN Sharafuddin Idris Shah merakamkan gambar bunga-bungaan ketika melawat ke pameran selepas merasmikan Festival Bunga Dan Taman Diraja Putrajaya 2018 di Presint 4, Putrajaya, hari ini. Turut kelihatan Tengku Permaisuri Norashikin, Khalid (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd, Haslinda Khalid. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
SULTAN Sharafuddin Idris Shah merakamkan gambar bunga-bungaan ketika melawat ke pameran selepas merasmikan Festival Bunga Dan Taman Diraja Putrajaya 2018 di Presint 4, Putrajaya, hari ini. Turut kelihatan Tengku Permaisuri Norashikin, Khalid (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd, Haslinda Khalid. FOTO Mohd Fadli Hamzah.