Oleh Nurul Huda Kosnon

Temerloh: "Dahla tidur hanya pakai cahaya lilin dalam khemah, bekalan makanan pun tak ada, saya macam hidup dalam dunia sendiri, " kata Hashim Daud, 46, mangsa banjir yang tiga hari kelaparan kerana tiada bekalan makanan.

Difahamkan, banjir melanda Kampung Badok, menyebabkan dia sekeluarga terpaksa menetap dalam khemah yang dibawa sendiri dan dipasang dalam kebun getah di atas bukit berdekatan rumahnya.

Bapa lima anak itu berkata, dia dan keluarga berpindah di kawasan bukit itu bersama 200 mangsa banjir lain dan sudah tiga hari tiada bekalan makanan sejak Selasa lalu.

"Banjir mula naik pada 28 Disember lalu. Ketika itu bantuan makanan masih cukup untuk menampung kami sekeluarga dan mangsa banjir. Tapi, Selasa lalu sampai 1 Januari (Khamis), kami semua terputus bekalan makanan.

"Tak tahu nak cakap macam mana keadaan kami semua. Kawasan kami di pedalaman dan susah untuk berhubung dengan orang lain.

"Selama itu, saya dan yang lain makan apa saja termasuk ayam hutan yang dimasak menggunakan dapur gas yang saya bawa sebelum berpindah. Kesian pada anak kecil." katanya.

Sehubungan itu, katanya, dia mengambil pendekatan mendapatkan bantuan bekalan makanan dengan mengharungi banjir dua hingga tiga jam ke Pusat Kawalan Harapan (PKH), Kubang Gajah.

"Saya dan seorang mangsa banjir, Padli Jaafar, 53, mendapatkan bantuan itu yang turut akan diagihkan kepada mangsa banjir lain menggunakan khidmat bantuan bot daripada mangsa banjir di daerah berhampiran yang kebetulan melalui kawasan berhampiran.

"Sedih mengenangkan banjir kali ini. Habis perkakas rumah ditenggelami air, mesin basuh dan peti sejuk terapung. Kini apa yang penting nak cari duit, tapi nak kerja pun tak boleh. Susah sangat, tak dapat nak gambarkan keadaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 12:28 AM