LIOW mempengerusikan mesyuarat bersama pengusaha kebun Cameron Highlands.
LIOW mempengerusikan mesyuarat bersama pengusaha kebun Cameron Highlands.

Cameron Highlands: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia mempertimbangkan kelulusan khas kepada pengusaha kebun bagi membawa muatan melebihi ketinggian di dalam trak serta pikap yang digunakan bagi membawa sayuran di sekitar kawasan bandar peranginan itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata, kelulusan khas itu hanya diberikan bergantung kepada permohonan yang diterima jabatan daripada pengusaha kebun dan pemberian kelulusan itu hanya terhad di sekitar kawasan Cameron Highlands.

Katanya, pertimbangan memberikan kelulusan khas itu diambil berikutan rungutan pekebun sayur yang terpaksa berulang alik berkali-kali membawa muatan berkenaan dari kebun walaupun bekalan dibawa itu belum melebihi muatan.

Menurutnya, bekalan sayur, buah dan bunga yang dibawa menggunakan trak serta pikap itu tidak berat namun pengusaha terpaksa berulang alik disebabkan ia melebihi ketinggian.

“Walaupun bersedia mempertimbangkan kelulusan khas itu namun aspek keselamatan diambil kira di mana pengusaha perlu memastikan jaring dipasang di keseluruhan trak atau pikap,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengusaha kebun kawasan itu di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 8:08 AM