Zulkhifli    (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Wan Zarifah.
Zulkhifli (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Wan Zarifah.
SHAMSURI (dua dari kanan) bersama Sihabutheen (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Wan Zarifah.
SHAMSURI (dua dari kanan) bersama Sihabutheen (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Wan Zarifah.
Sukarelawan NSTP-MPB dan sukarelawan  Tesco selepas mengagihkan sumbangan.
Sukarelawan NSTP-MPB dan sukarelawan Tesco selepas mengagihkan sumbangan.

Jerantut: Media Prima Berhad (MPB) menerusi Tabung Bencana NSTP-MPB turun padang membantu mangsa banjir di daerah ini dengan mengagihkan barangan keperluan asas kepada penduduk yang terjejas, semalam.

Seramai 34 anggota Briged Sukarelawan NSTP-MPB dan 24 kakitangan Tesco Stores (M) Sdn Bhd (Tesco) menyertai program itu dengan membawa barangan keperluan asas seperti makanan menggunakan dua lori untuk disampaikan kepada kira-kira 400 mangsa banjir di sembilan pusat pemindahan di daerah ini.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat MPB Azlan Abdul Aziz berkata, ia misi kali kelima dan akan diteruskan ke beberapa negeri terjejas akibat banjir mengikut keperluan.

Hadir sama Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris dan Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Kerajaan Tesco Datuk Azlam Shah Alias.

Bantuan disampaikan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Inderapura, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin, SMK Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Dewan Kampung Temin, Dewan Advanced Tranning Centre, Kampung Batu Embun, Pulau Mangsok, Lata Kasah dan Paya Teh.

Beliau berkata, bagi kawasan terputus hubungan, sumbangan diserahkan kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang akan menyampaikannya kepada penduduk dengan helikopter.

Di Butterworth, Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd, pemilik rangkaian restoran nasi kandar Pelita menyumbangkan RM30,000 kepada Tabung Bencana NSTP-MPB bagi membantu mangsa banjir di negeri di pantai timur.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Shamsuri Ahmad berkata, ia hasil kutipan cawangan restoran berkenaan di Taman Chai Leng selama tiga hari dan diharapkan dapat membantu meringankan beban mangsa.

Beliau berkata, sumbangan itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang bersimpati dengan nasib mangsa banjir yang terjejas teruk akibat bah luar biasa melanda terutama di Kelantan.

Beliau bersama Pengarah Pelita Datuk K K Sihabutheen menyerahkan cek kepada Pengurus Jualan (Jabatan Jualan Akhbar dan Pengedaran) The New Straits Times Press (NSTP) Pulau Pinang Wan Zarifah Wan Ibrahim.

Di Georgetown, bekas Pelajar Lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Georgetown (GOB) menghulurkan sumbangan RM1,330 kepada mangsa banjir di pantai timur melalui Tabung Bencana NSTP-MPB di pejabat NSTP Pulau Pinang, semalam.

Sumbangan disampaikan wakil mereka Zulkhifli Ismail Nagore bersama Ahmad Badaruddin Packer Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:42 AM