NORFADILAH dan tunangnya menghilangkan diri lebih setahun lalu.
NORFADILAH dan tunangnya menghilangkan diri lebih setahun lalu.

Johor Bahru: Seorang wanita dirayu pulang bertemu dengan keluarga yang merinduinya selepas dia menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Tersusun Punggai, Pengerang, dekat sini, sejak Mei tahun lalu.

Norfadilah Nasir, 35, juga didakwa tidak pulang menziarahi bapanya, Nasir Ismail, 53, yang meninggal dunia pada Jun lalu.

Ibunya, Habsah Abdullah, 53, berkata, dia amat berharap supaya anak kedua daripada tiga beradik itu dapat pulang bertemu dengan keluarga.

Menurutnya, sudah puas keluarganya menunggu kepulangan Norfadilah dan mereka sekeluarga amat merinduinya.

“Sudah puas kami mencarinya tetapi gagal menemuinya. Dia bukan hanya tidak pulang tetapi juga langsung tidak menghubungi kami sekeluarga,” katanya di sini, semalam.

Norfadilah didakwa menghilangkan diri pada 13 Mei tahun lalu selepas keluar rumah sehelai sepinggang untuk ke Bandar Penawar bagi mencari kerja.

Habsah berkata, dia juga sudah pergi ke rumah keluarga tunang anaknya itu di Skudai, di sini, dan turut didakwa pemuda terbabit juga tidak pulang ke rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Norfadilah atau tunangnya boleh menghubungi kakaknya, Faizah di talian 012-7175936.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:51 AM