Sama bersama ahli keluarga Manickam yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga di kediamannya di Bahau. Abnor Hamizam Abd Manap
Sama bersama ahli keluarga Manickam yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga di kediamannya di Bahau. Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


“MAJIKAN saya sangat baik, beliau pernah membiayai belanja umrah saya pada Disember 2016,” kata wanita warga Indonesia, Sama Sokah, 49, yang bekerja sebagai pembantu rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam.

Dia bersyukur kerana tugas dan peranannya sentiasa dihargai keluarga wakil rakyat berkenaan.

Menurutnya, walaupun berlaku kejadian pembantu rumah warga asing terutama dari negara asalnya menjadi mangsa penderaan, ia tidak menggambarkan keseluruhan sikap majikan di negara ini.

“Sepanjang 15 tahun menjadi pembantu rumah bagi keluarga ini, saya dilayan seperti keluarga sendiri.

“Majikan saya itu juga pernah membiayai ibadat umrah selepas saya tertangguh untuk ke Tanah Suci kerana ditipu ejen pada 2014.

“Malah Datuk mengeluarkan duit tambahan bagi memastikan hasrat saya menunaikan ibadat itu tercapai dan sanggup ke Jakarta menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Alhamdulillah, akhirnya selepas tertangguh saya dapat menunaikan umrah pada Disember 2016 dan terharu apabila beliau sanggup mengeluarkan belanja tambahan,” katanya ketika ditemui di rumah Manickam di Bahau, semalam.

Katanya, seluruh ahli keluarganya sangat menghormatinya walaupun berlainan agama selain tidak pernah dilarang untuk menunaikan semua kewajipan agama termasuk solat dan puasa.

Ibu tunggal itu turut mengimbau kenangan empat tahun lalu apabila majikannya membantunya pulang ke kampung dengan segera sebaik menerima berita kematian ibunya.

“Saya sempat melihat wajah arwah ibu buat kali terakhir sebelum dikebumikan dan semua itu atas bantuan majikan sekeluarga yang membantu menguruskan perjalanan pulang saya,” katanya.

Sementara itu, M Indhu, 19, anak ketiga Manickam berkata, wanita itu sudah dianggap sebagai ahli keluarganya, apatah lagi dia menjaganya sejak kecil termasuk menghantar ke tadika berhampiran rumah.

“Jika dia pulang bercuti ke kampung, saya akan merinduinya malah ada ketika mahu tidur saya akan menangis kerana merinduinya.

“Saya memang rapat dengannya malah gemar masakannya. Dia suka bergurau dan menasihati saya dalam banyak perkara,” katanya.

Sementara itu, Manickam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru negeri berkata, pembantu rumahnya itu adalah yang ketiga dan paling lama bekerja dengannya.

“Kami sekeluarga sangat senang dengannya malah dia menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan amanah,” katanya.

Pada 11 Februari lalu, seorang pembantu rumah berasal dari Medan, Adelina Lisao, 26, mati disyaki akibat didera di rumah majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Susulan itu, dua beradik masing-masing lelaki dan perempuan berusia 36 dan 39 tahun serta ibu mereka berusia 60 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 9:16 PM