Kuala Lumpur: Presiden Ukraine Petro Poroshenko bertekad negaranya dan Australia akan mendedahkan mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17.

Memetik laporan Skynews Australia, Poroshenko berjanji untuk membawa pasukan siasatan ke dalam lokasi nahas dengan lebih dekat supaya dunia mengetahui siapa bertanggungjawab.

Katanya, pihaknya akan membuat rayuan untuk meraih banyak sokongan dari Barat dalam perjuangan Ukraine menentang pemberontak pro-Russia.

“Dunia perlu mengetahui pihak yang bertanggungjawab dalam serangan ke atas pesawat itu,” katanya ketika menemui pegawai penyiasat Australia yang bertanggungjawab dalam tragedi MH17 di Institut Lowy, Sydney, Jumaat lalu.

Dalam nahas 17 Julai lalu, 38 warga Australia adalah antara 298 terbunuh dalam serangan peluru berpandu itu.

Ketua Masyal Udara Australia Angus Houston berkata, ada sesetengah rangka pesawat yang jelas menunjukkan apa yang terjadi dalam insiden itu.

“Bagaimanapun pasukan penyiasat akan berdepan cabaran berat untuk membuktikan siapa yang bersalah.

“Saya fikir ini adalah cabaran hebat untuk kami, ” katanya.

Katanya, pasukannya akan membuat yang terbaik untuk mencari dalang yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat awam itu.

“Tetapi secara realitinya ia akan menjadi sukar berikutan terletak di negara yang bergolak dan berlaku peperangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:17 AM