PESAWAT MH17. FOTO Agensi.
PESAWAT MH17. FOTO Agensi.
AFP

THE HAGUE: Penyiasat antarabangsa dijangka mengumumkan dakwaan terhadap beberapa suspek yang menembak jatuh pesawat MH17 di timur Ukraine lima tahun lalu yang meragut nyawa 298 penumpang dan anak kapal.

AFP melaporkan, siasatan diketuai kerajaan Belanda itu akan dimaklumkan kepada ahli keluarga mangsa terlebih dulu sebelum satu sidang media diadakan untuk mendedahkan perkembangan terbaru siasatan jenayah ke atas pesawat Penerbangan Malaysia Boeing 777 itu.

Kejayaan itu dicapai hampir setahun selepas penyiasat terbabit mengatakan bahawa peluru berpandu BUK itu dibedil dari briged tentera Russia yang berpangkalan di barat daya bandar Kursk.

Pesawat yang melakukan penerbangan antara Amsterdam dan Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di udara pada 17 Julai 2014 di timur Ukraine yang dikuasai oleh puak pemisah pro-Russia.

Timbalan Menteri Luar Ukraine, Olena Zerkal memberitahu agensi berita Interfax-Ukraine semalam bahawa empat orang akan dinamakan termasuk pegawai tentera kanan Russia.

"Nama akan diumumkan. Dakwaan akan dikemukakan," katanya sambil menjelaskan mahkamah Belanda akan memulakan proses untuk menilai kes itu.

Katanya, pemindahan senjata seperti sistem peluru berpandu anti-pesawat BUK mustahil untuk dilakukan tanpa kebenaran pegawai tertinggi dan dia menjelaskan beberapa orang lagi mungkin terbabit selain mereka yang didakwa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 10:59 AM