Baidzawi
Baidzawi

MAJLIS Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus membangunkan daya saing dan ketahanan rakyat supaya mereka dapat berkembang dalam realiti baharu melalui pelbagai program dilaksanakan. Ia dilakukan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi berkaitan khususnya melalui projek pertanian dan pelancongan yang membawa kesan limpahan kepada rakyat memandangkan kedua-dua sektor ini kekal menjadi sumber aktiviti ekonomi berdaya maju dalam jangka terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, sebagai contoh, rakyat Mersing yang bakal menikmati pembangunan dalam projek pertanian dan pelancongan yang dilaksanakan turut mendapat manfaat daripada program empower ECER dan entrepreneur ECER.

"Program ini bertujuan membangunkan usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mampan serta bakat masa hadapan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti tempatan.

"Dari 2018 sehingga kini, ECERDC melalui kerjasama strategiknya dengan Agrobank dan Maybank membangunkan 92 usahawan di Mersing, Johor yang menerima pinjaman untuk menyokong dan mengembangkan perniagaan mereka.

"Seramai 31 usahawan lagi kini menjalani pembangunan kualiti produk bersama Sirim sebagai persediaan menembusi pasaran lebih luas," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja mengupayakan usahawan untuk bertahan, malah mengembangkan perniagaan mereka ketika pandemik dengan memanfaatkan pengetahuan diperoleh mengenai e-dagang dan pemasaran dalam talian serta bantuan kewangan disediakan.

Antara peserta terbabit adalah Rekha Alagapan, pemilik Ms Tan Agro Farm Sdn Bhd yang memperluas ladang daripada tujuh ekar menjadi 70 ekar, seterusnya meningkatkan jualan sayur organik dari RM100,000 kepada RM200,000 sebulan. Beliau kini menggaji 12 pekerja Orang Asli di ladangnya.

Selain itu, Maslina Selasa, pemilik Sate Nitar Enterprise yang juga peserta program entrepreneur ECER-Agrobank mencatatkan peningkatan jualan lebih 100 peratus dari RM32,000 kepada RM80,000 sebulan selepas memasarkan produknya di platform dalam talian untuk penghantaran ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 7:20 AM