MUHD Samsol muncul peserta Orang Asli pertama di Kelantan berjaya menamatkan Program Latihan dan Kemahiran Keusahawanan Empower ECER. FOTO Nor Amalina Alias
MUHD Samsol muncul peserta Orang Asli pertama di Kelantan berjaya menamatkan Program Latihan dan Kemahiran Keusahawanan Empower ECER. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


“DULU saya pemalu, nak bercakap dengan pelanggan pun segan, lepas ikuti program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), saya kini mampu menyara ibu bapa dan adik,” kata Muhd Samsol Harun, 22.

Muhd Samsol muncul peserta Orang Asli pertama di Kelantan yang berjaya menamatkan Program Latihan dan Kemahiran Keusahawanan Empower ECER.

Lebih membanggakan dia turut menerima Anugerah Khas Usahawan Empower ECER selepas berjaya menjana pendapatan ribuan ringgit melalui perniagaan gerai burger miliknya di kawasan perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Rual, Jeli.

Samsol berkata, sebelum ini dia hanya menoreh getah bersama bapa, Harun Bernas, 50 dan ibu, Zurina Che Hak, 48, dengan pendapatan tidak menentu.

Katanya, dia kemudian cuba berniaga burger untuk memperoleh pendapatan sampingan pada 2018, namun hanya mampu menjana RM500 sebulan.

“Apabila ECER ke kampung dan menawarkan latihan keusahawan kepada Orang Asli, saya berminat untuk cuba nasib, kini saya mampu memperoleh RM2,700 sebulan.

“Semua kemahiran membuat makanan ini diajar dalam program itu,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Empower ECER Kelantan 2019 di Bachok, hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

AHMAD Yakob (kiri) menyampaikan anugerah Khas kepada Muhd Samsol.FOTO Nor Amalina Alias
AHMAD Yakob (kiri) menyampaikan anugerah Khas kepada Muhd Samsol.FOTO Nor Amalina Alias

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi ECERDC, Datuk Ragu Simpasivam dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.

Samsol yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, dia turut menerima kiosk dan peralatan membuat burger, selain diajar cara pemasaran perniagaannya.

“Dulu saya hanya tunggu pelanggan datang. Namun sekarang, saya belajar mempromosikan jualan menerusi Whatsapp, mengambil tempahan dan membuat khidmat penghantaran ke rumah pelanggan,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli.

Selain Muhd Samsol, seramai 17 lagi peserta turut menerima Anugerah Usahawan Empower ECER.

Sementara, 32 pelajar yang menyertai Latihan Akademik Empower turut menerima Anugerah Juara Empower kerana mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:15 PM