DATUK Ahmad Yakob (tengah) beramah mesra bersama sebahagian peserta dalam Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2019 di (UMK) Kampus Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
DATUK Ahmad Yakob (tengah) beramah mesra bersama sebahagian peserta dalam Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2019 di (UMK) Kampus Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


SERAMAI 25,000 rakyat Kelantan khususnya golongan B40 menerima manfaat dari program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilaksanakan sejak 2013.

Kebanyakan mereka menjadi usahawan berjaya dan mampu memperoleh pendapatan antara RM1,000 hingga RM10,000 sebulan selepas mengikut program kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kejayaan itu sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat negeri ini, dan dapat membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat yang sebelum ini terbabit dalam kerja kampung atau perniagaan tradisi.

Katanya, lebih membanggakan peserta berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada 1,496 warga tempatan.

“Walaupun ekonomi tidak memberangsangkan, dengan adanya program keusahawanan itu kita nampak anak muda lebih berusaha sehingga ada yang mampu menjana RM39,000 sebulan dan menggaji lapan pekerja.

“Perkara paling besar adalah dapat melahirkan usahawan muda, wanita dan suri rumah sekali gus mengurangkan penghijrahan anak muda ke luar Kelantan bagi mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Empower ECER Kelantan 2019 di Bachok, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat dan Ketua Pegawai Operasi ECERDC, Datuk Ragu Simpasivam.

Ahmad Yakob berkata, ECERDC bukan saja meningkatkan ekonomi negeri ini melalui pemerkasaan usahawan tetapi membawa masuk pelaburan ke Kelantan.

Malah, katanya, ia turut menjayakan lima projek yang diumumkan Kerajaan Persekutuan seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), projek lebuh raya dan pembinaan jambatan Palekbang, Tumpat.

Sementara itu, Baidzawi berkata, tiga perkara diberi tumpuan di Kelantan iaitu mensasarkan RM430 juta komitmen pelaburan dan membina infrastruktur dalam lima projek mega yang diumumkan kerajaan pusat.

“Program ‘human capital’ turut dilaksanakan dengan sasaran melahirkan 3,000 usahawan dalam kalangan peserta Empower ECER dan program

Entrepreneur ECER yang meningkatkan prestasi usahawan sedia ada atau usahawan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pembangunan produk, pembungkusan, pelabelan, penjenamaan, pensijilan Mesti dan Halal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 9:20 PM