AHLI Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Abu Bakar Harun (tengah) dan Jebasingam bersama pelajar Orang Asli dan penuntut Universiti Malaysia Pahang pada majlis perasmian program.
AHLI Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Abu Bakar Harun (tengah) dan Jebasingam bersama pelajar Orang Asli dan penuntut Universiti Malaysia Pahang pada majlis perasmian program.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Taraf kehidupan masyarakat Orang Asli di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) semakin meningkat hasil usaha bersepadu Kerajaan Persekutuan untuk memastikan mereka tidak tersisih dalam program transformasi negara.

Pelan pembangunan modal insan yang inklusif di perkampungan Orang Asli termasuk program Pemerkasaan Pendidikan, Kemahiran dan Pewujudan Pekerjaan.

Ia melalui inisiatif pembangunan pelancongan lestari di Tasik Chini, Pekan, Pahang berjaya mengubah kehidupan masyarakat setempat terutama komuniti Orang Asli di kampung berhampiran.

Menerusi program empower ECER-MyKasih iaitu kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Yayasan MyKasih, seramai 118 pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini menerima manfaatnya.

Program itu bertujuan membantu pelajar Orang Asli mempertingkatkan prestasi akademik mereka melalui penyediaan kelas tuisyen dan motivasi secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, ECERDC memperkenalkan program Latihan Akademik empower ECER kepada komuniti Orang Asli di Tasik Chini pada 2016 dengan mengambil kira tuntutan gaya hidup dan keperluan pelajar Orang Asli yang berbeza.

“Pada tahun lalu, sebagai sebahagian usaha meningkatkan keberkesanan program kami, ECERDC menjalinkan kerjasama dengan Yayasan MyKasih untuk menjaga kebajikan dan memenuhi keperluan pelajar secara lebih holistik supaya mereka lebih fokus terhadap pelajaran.

“Kami percaya tiada pelajar Orang Asli yang tergolong dalam komuniti berpendapatan rendah dan tersisih daripada menerima manfaat transformasi sosioekonomi ECER pada masa akan datang,” katanya.

JEBASINGAM (tiga dari kiri) melawat Kelas Abad 21, SK Tasik Cini.
JEBASINGAM (tiga dari kiri) melawat Kelas Abad 21, SK Tasik Cini.

Selain itu, beliau berkata, ECERDC turut melaksanakan program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER khusus untuk belia Orang Asli di Tasik Chini.

Katanya, kursus ditawarkan seperti anyaman mengkuang bercorak dan penyelenggaraan motosikal yang direka khas untuk memenuhi keperluan kehidupan Orang Asli.

“Pada masa sama ia memberi peluang kepada mereka untuk meraih pendapatan lebih tinggi menerusi aktiviti pelancongan di Tasik Chini dan 24 peserta sedang mengikuti kursus ini.

“Contohnya, ada wanita yang sebelum ini suri rumah berjaya membuka kedai sendiri di Kampung Gumum dengan menjual kraf tangan di Tasik Chini.

“Melalui perniagaan kecilnya, ibu empat anak itu dapat meningkatkan pendapatan keluarganya kepada RM2,000 sebulan,” katanya.

Jebasingam berkata, banyak kisah kejayaan Orang Asli boleh dilihat selepas mereka menyertai program entrepreneur ECER.

“Satu lagi contoh ialah seorang peniaga ukiran kayu Orang Asli memperoleh purata pendapatan RM7,500 sebulan selepas menyertai program ini (program entrepreneur ECER).

“Ini satu pencapaian membanggakan kerana sebelum ini peniaga terbabit hanya meraih pendapatan RM200 sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 11:03 AM