Shah Alam: “Saya bersyukur kerana pinjaman berjumlah RM32,000 tidak perlu dibayar kerana mendapat pelepasan berikutan memperoleh ijazah kelas pertama,” kata Nur Syafiqah Razali, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perpustakaan dan Maklumat Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Nur Syafiqa menerima ijazahnya itu dalam Istiadat Konvokesyen ke-81 UiTM di Dewan Agong Tunku Canselor, di sini, semalam.

Menurutnya, dia lega dengan pelepasan pembayaran balik pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu seterusnya tidak perlu memikirkannya lagi selepas ini.

“Ia menjadi hadiah istimewa kepada ibu bapa saya yang selama ini membantu serta memberi galakan sepanjang saya bergelar siswi di UiTM.

“Saya tidak perlu bimbang mengenai pinjaman itu, apatah lagi PTPTN, baru-baru ini, mengumumkan mereka yang tidak membayar pinjaman akan disenarai hitamkan,” katanya.

Menurut Nur Syafiqah, ketika di peringkat diploma dalam jurusan Pengurusan Maklumat, dia ragu-ragu untuk meneruskan pengajiannya kerana masih tidak nampak gambaran sebenar bidang itu.

“Namun, saya mula mendapat fokus kepada matlamat asal ketika mahu menyambung pelajaran sehinggalah hari ini (semalam), saya berjaya menggenggam segulung ijazah.

“Banyak cabaran sepanjang bergelar siswi di UiTM, tetapi hasil bantuan rakan sekuliah serta dorongan ibu bapa menjadikan saya lebih bermotivasi untuk terus berjaya,” katanya.

Istiadat konvokesyen yang berlangsung semalam menyaksikan seramai 1,110 penuntut UiTM menerima ijazah serta diploma masing-masing yang disempurnakan oleh Pro Canselornya Tan Sri Nuraizah Abdul Halim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 8:12 AM