Raja Noraina Raja Rahim


“TUHAN sahaja yang tahu perasaan saya ketika melangkah ke atas pentas untuk mengambil ijazah arwah anak dan terasa seperti dia ada melihat saya,” kata Azmah Said, 50, ibu kepada graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan, Allahyarham Nurul Syafiqah Mohd Shaari.

Suri rumah itu menerima ijazah daripada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad di Dewan Biduanda, UiTM Kampus Rembau disaksikan 564 graduan sarjana muda dan diploma yang menerima ijazah masing-masing pada sesi ketiga Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-89, hari ini.

Azmah menyifatkan pemergian Nurul Syafiqah, 23, yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian) sebagai satu kehilangan besar kepada keluarganya.

Menurutnya, perasaan gembira dan sedih bercampur baur apabila menaiki pentas mewakili anak perempuannya itu yang meninggal dunia akibat kemalangan pada Mac lalu.

“Pada mulanya saya tidak mahu ambil ijazah arwah kerana bimbang tidak dapat menahan kesedihan. Namun, kelmarin saya menziarahi pusara arwah dan mendapat kekuatan untuk datang ke sini.

“Malah, suami Mohd Shaari Mah Husin, 56, dan anak sulung memberi dorongan supaya saya mewakili arwah kerana mungkin ini yang akan menggembirakannya jika dia masih hidup.

“Saya bangga dengan kejayaan arwah walaupun dia tidak sempat meraikan hari bersejarah ini,” katanya.

Nurul Syafiqah meninggal dunia selepas tercampak dari Perodua Myvi dinaiki yang melanggar penghadang jalan dalam kemalangan di Kilometer 405.4 Lebuhraya PLUS arah Kuala Lumpur dekat Lembah Beringin, Kuala Kubu Bharu, pada 18 Mac lalu.

Arwah bersama kakaknya, Nurul Syakirah, 25, dan seorang lagi rakan kakaknya berusia 25 tahun yang memandu kereta itu dalam perjalanan pulang ke Bahau dari Simpang Pulai, Perak, sebelum terbabit kemalangan itu.

Ditanya mengenai impian arwah sebelum ini, Azmah berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu tidak pernah bercerita mengenai impiannya, tetapi ada memberitahu mahu ‘berehat’ kira-kira dua minggu sebelum terbabit kemalangan itu dan tidak menyangka ia petanda arwah akan pergi selama-lamanya.

“Walaupun sudah lapan bulan arwah meninggalkan kami sekeluarga, tetapi rasa seperti baru semalam dia pergi. Ijazah ini bukti penat lelah arwah dalam pengajian selama ini dan akan saya simpan sebagai kenangan buat kami,” katanya.

Sesi ketiga Istiadat Konvokesyen Ke-89 UiTM Cawangan Negeri Sembilan itu membabitkan graduan ijazah sarjana muda dan diploma dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Sukan dan Rekreasi serta Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 7:26 PM
AZMAH (tengah) bersama Mohd Shaari menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian) milik Nurul Syafiqah pada Majlis Konvokesyen ke-89 UiTM Cawangan Negeri Sembilan di UiTM Kampus Rembau, Negeri Sembilan, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
AZMAH (tengah) bersama Mohd Shaari menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian) milik Nurul Syafiqah pada Majlis Konvokesyen ke-89 UiTM Cawangan Negeri Sembilan di UiTM Kampus Rembau, Negeri Sembilan, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.