Dr Mohd  Ilham Adenan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada graduan UiTM, Norsyazwana Mohd. Ramly selepas majlis penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu di UiTM Pahang di Jengka, Maran hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Dr Mohd Ilham Adenan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada graduan UiTM, Norsyazwana Mohd. Ramly selepas majlis penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu di UiTM Pahang di Jengka, Maran hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Maran: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Kampus Jengka mencatatkan sejarah apabila melaksanakan Majlis Penganugerahan Diploma dan Ijazah secara janji temu selama tiga hari bermula Rabu lalu.

Menerusi majlis itu, graduan berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakam gambar kenangan bersama keluarga serta menerima skrol dan transkrip seperti istiadat konvokesyen sebenar.

Graduan diberi tarikh dalam tempoh tiga hari berkenaan untuk hadir bersama waris bagi menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Rektor UiTM Cawangan Pahang, Profesor Dr Mohd Ilham Adenan berkata, majlis itu dijalankan dalam suasana normal baharu itu bagi menggantikan istiadat konvokesyen yang terpaksa ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19.

Katanya, seramai 270 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing di Dewan Indera Segara, UiTM.

Menurutnya, ia membabitkan 165 graduan diploma, 94 (ijazah sarjana muda), dua (profesional), lapan (sarjana) dan seorang graduan doktor falsafah (PhD).

"Graduan ini terdiri daripada penuntut UiTM yang sudah menamatkan pengajian mereka di kampus UiTM seluruh negara dan bermastautin di Pahang sahaja," katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan diploma dan ijazah UiTM Cawangan Pahang 2020 di sini hari ini.

Mohd Ilham berkata, ia dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dipantau pihak berwajib.

"Kejayaan UiTM Cawangan Pahang menjadi model kepada UiTM cawangan lain dalam zon hijau di seluruh negara hijau untuk melaksanakan majlis sama di kampus masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 5:38 PM